UTUSAN ONLINE
MELAKA - Orang ramai tidak perlu risau sebalik perlu yakin dengan keupayaan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan dalam mengawal wabak selesema babi atau virus influenza A (H1N1) daripada merebak di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun kes terbaru mengesahkan seorang pelajar berusia 21 tahun menjadi penghidap pertama wabak itu, tetapi beliau yakin virus tersebut dapat dikawal daripada menular.
Katanya, pihak kementerian cukup berpengalaman dalam menghadapi situasi genting seperti itu.
Katanya, sebelum ini pernah berlaku beberapa wabak penyakit tetapi langkah pantas kementerian berkenaan telah menjamin ia tidak menular secara meluas kepada orang ramai.
''Saya fikir kita harus yakin dengan tindakan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan dalam menangani wabak ini ini.
''Lagipun, orang ramai perlu tahu bahawa wabak ini bukan datangnya dari Malaysia tetapi dari negara luar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 20,000 belia dari seluruh negara turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini yang mengesahkan seorang pelajar berusia 21 tahun menjadi penghidap pertama wabak selesema babi di negara ini.
Pelajar yang berasal dari Lembah Klang itu kini dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh, manakala lima ahli keluarganya dikuarantin di rumah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memangku tugas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pelajar itu baru pulang dari Amerika Syarikat pada 13 Mei lalu.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kawalan ketat perlu ditingkatkan lagi di semua pintu masuk di negara ini terutama di lapangan terbang dalam mencegah wabak selesema babi daripada merebak.
"Saya harap pihak yang dipertanggungjawabkan akan mengambil apa juga langkah yang perlu dalam usaha memastikan wabak ini tidak menular ke tempat lain," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Kesihatan terus melakukan pemantauan lebih teliti dan mengambil inisiatif lain jika perlu untuk mengesan wabak ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan