UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Tabung Haji (TH) akan menaikkan bayaran tambang pada kadar minimum sebanyak 11 peratus untuk musim haji tahun ini.
Dengan kenaikan itu, para jemaah yang bakal mengerjakan ibadah itu dikenakan bayaran sebanyak RM9,980 seorang berbanding RM8,973 ketika ini.
Walaupun dinaikkan, kadar bayaran mengerjakan haji yang dikenakan kepada jemaah dari Malaysia masih berada di paras terendah berbanding negara lain di rantau ini.
TH dalam kenyataannya di sini, hari ini berkata, kenaikan pada kadar rendah sejak 2002 itu tidak dapat dielakkan lagi kerana peningkatan kos penginapan dan penerbangan jemaah yang telah meningkat secara berterusan sepanjang lapan musim haji yang lalu.
"Sebenarnya, anggaran kos mengerjakan haji bagi setiap jemaah musim ini adalah RM12,600 dengan TH menyerap kos berkenaan sebanyak RM2,620 seorang pada tahun ini.
"Pada musim haji yang lepas, TH menampung sekitar RM75 juta bagi menanggung peningkatan kos haji dan ini bersamaan dengan RM2,350 bagi setiap jemaah," jelasnya.
Kali terakhir TH memutuskan untuk menaikkan kadar bayaran mengerjakan haji adalah pada 2002 iaitu dari kadar bayaran RM8,585 setiap jemaah kepada RM9,445 seorang.
Bagaimanapun, pada musim haji 2004, TH mengurangkan kadar bayaran tersebut sebanyak lima peratus kepada RM8,973 seorang sahaja.
Mengulas lanjut, TH berkata, dengan kenaikan kadar bayaran haji itu, pihaknya akan menanggung sekurang-kurangnya RM70 juta pada musim ini bagi menampung kenaikan kos penginapan dan makanan jemaah Malaysia di Tanah Suci.
"Peningkatan kos penginapan dipercayai ekoran kerja-kerja pembesaran dalam lingkungan 800 meter ke bawah di kawasan sekitar Masjidil Haram bagi membangun semula dan membesar medan masjid," jelasnya.
Ekoran pembangunan semula dan pembesaran kawasan di sekitar Masjidil Haram itu, beberapa hotel atau rumah penginapan bagi jemaah haji dirobohkan.
Kenyataan itu menambah, keadaan itu menyebabkan berlaku kekurangan jumlah katil di kawasan berhampiran masjid sekali gus menyebabkan harga hotel di kawasan sekitar turut meningkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan