Oleh Irwan Shafrizan Ismail
KUANTAN: Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku, Lipis, maut selepas bom ikan yang dibuat sendiri menggunakan paip besi meletup di Sungai Kuala Putus, dekat Kuala Lipis, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Muhamad Fakri Yahya, 17, dari Kampung Teha, Kuala Lipis, disahkan meninggal di Hospital Kuala Lipis (HKL) akibat cedera di dada, perut dan hancur pergelangan tangan kiri.
Difahamkan, sebelum kejadian, ibu mangsa sempat menegurnya yang leka memotong paip besi sebelum memberitahu besi berkenaan untuk digunakan bagi satu projek besar, namun mangsa tidak mendedahkan projek dimaksudnya.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata sebaik selesai memotong paip besi serta memasukkan bahan letupan itu, mangsa bersama empat rakannya pergi ke sungai berkenaan dipercayai mahu mengebom ikan.
Beliau berkata, empat rakan mangsa kemudian menyelam ke dasar sungai bagi mencari lubuk ikan sementara mangsa menanti di tepi sungai bersama bom yang dipegang di tangan.
"Namun bom itu secara tiba-tiba meletup menyebabkan mangsa terbaring di atas batu di tepi sungai dalam keadaan separuh sedar akibat cedera di dada, perut dan hancur pergelangan tangan kiri," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Abdul Razak berkata, empat rakan mangsa yang terdengar bunyi letupan berenang naik semula ke permukaan sungai sebelum menemui mangsa yang dalam keadaan separuh sedar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan