HALAMAN SANTAI

Ahad, 3 Mei 2009

Skim pencen pekerja swasta

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM


KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang merangka dua langkah khusus untuk kepentingan sosial pekerja di negara ini ekoran daripada kesan kegawatan ekonomi dunia.

Dua langkah itu ialah penubuhan Tabung Pemberhentian Pekerja bagi menjaga kepentingan pekerja yang terpaksa diberhentikan dan skim pencen bagi pekerja-pekerja sektor swasta sebagai jaminan keselamatan sosial pada hari tua.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kementerian Sumber Manusia sedang mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat bagi merealisasikan penubuhan Tabung Pemberhentian Pekerja itu.

Perdana Menteri menjelaskan apabila perundingan tersebut selesai, maka kementerian akan mengemukakan cadangan mengenainya kepada Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

Mengenai skim pencen pula, Najib berkata, perkara itu juga sedang diambil serius oleh kerajaan memandangkan ganjaran yang diterima oleh pekerja selepas bersara adalah amat terhad dan tidak mencukupi bagi meneruskan kehidupan.

''Perkara itu (skim pencen) sedang kita runding dan kaji kerana kita lihat kebanyakan pekerja menghadapi kesulitan kewangan apabila jumlah ganjaran yang diterima amat terhad memandangkan jangka hayat semakin bertambah menjangkau sehingga 15 dan 20 tahun.

''Kita kena cari jalan bagaimana pembayaran itu boleh dibuat berdasarkan kepada bulanan dan dengan ini kita akan dapat menjamin perlindungan kepada pekerja kita,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2009 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, berdasarkan kepada kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan bahawa 70 peratus daripada pencarum akan menghabiskan caruman simpanan mereka dalam tempoh antara tiga dan 10 tahun.

"Sebagaimana kita sedia maklum, jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat daripada 50 - 55 tahun sebelum merdeka kepada purata 73 tahun sekarang.

"Dengan yang demikian, skim pencen tersebut jika diperkenalkan akan dapat memberi jaminan di hari tua mereka," katanya.

Tiada ulasan: