Oleh ZABRY MOHAMAD
PUTRAJAYA - Kemudahan rumah kedai adalah yang terbaik mampu disediakan kerajaan untuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berikutan projek pembinaan kampus baru universiti itu yang amat perlahan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan memilih rumah kedai itu juga disebabkan kedudukannya yang berdekatan dengan kampus induk.
Menurut beliau, apa yang penting, proses pembelajaran dapat diteruskan dan tidak tergendala.
''Kita tidak boleh sediakan tempat yang jauh dari kampus induk, ia perlu berdekatan.
''Kita cuba sedaya upaya sediakan tempat sesuai serta selesa untuk pelajar dan rumah kedai saja yang ada di sekeliling," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di sini hari ini.
Mohamed Khaled mengulas laporan akhbar mengenai UPSI yang terpaksa menjadikan rumah kedai sebagai bilik kuliah untuk 9,000 daripada 16,000 pelajarnya.
Masalah yang bermula sejak tiga tahun lalu itu dikatakan berpunca daripada perkembangan pembinaan projek kampus baru UPSI yang perlahan dan tertangguh beberapa kali.
Mohamed Khaled memberitahu, projek tersebut kini berjalan mengikut jadual dan tiada lagi masalah dari segi kelewatan.
Beliau memberi jaminan kampus baru berkenaan akan siap dalam tempoh yang ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan