UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran kini dibenarkan mendaftar di sekolah-sekolah bantuan kerajaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkara itu diputuskan kerajaan pada 16 Januari tahun lepas.
Bagaimanapun, katanya, ibu bapa dan pihak yang berkenaan disyarat mendapatkan pengesahan penghulu atau ketua kampung atau yang setaraf untuk mengesahkan kanak-kanak itu dilahirkan di negara ini tetapi tidak mempunyai sijil lahir.
''Saya terpaksa membuat penjelasan ini semula memandangkan maklumat ini tidak sampai kepada orang ramai terutama kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang tidak mempunyai sijil lahir,'' katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil lahir tidak dapat mendaftar di sekolah-sekolah bantuan kerajaan, di sini hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan mengenai masalah empat kanak-kanak daripada dua keluarga berasingan yang ditinggalkan ibu bapa mereka tanpa sebarang pengenalan diri atau sijil lahir menyebabkan gagal untuk menjejakkan kaki ke sekolah.
Krishnaraj, 9; Anandaraj, 10; Ratna Devi, 10 dan Harish @ Hendri, 9 kesemuanya belum bersekolah berikutan masalah tersebut.
Shahrizat memberitahu, beliau telah melawat kesemua kanak-kanak tersebut di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah dekat sini dan menegaskan mereka boleh dimasukkan di sekolah pendidikan khas dan sekolah bantuan kerajaan.
Ujarnya, bagi membantu kanak-kanak yang mengalami nasib serupa, kementerian bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan operasi bagi mendaftarkan kanak-kanak terlibat.
''Setakat ini, sebanyak tiga operasi pendaftaran bersama kementerian, JPN, Yayasan Strategik Sosial (YSS) dan Yayasan Salam telah dijalankan iaitu pada 13 Februari, 7 Mac dan 5 Julai tahun lepas.
''Operasi itu telah berjaya mendaftarkan 16 orang kanak-kanak yang dikesan di kawasan Chow Kit dan 60 orang kanak-kanak lagi di Setapak yang mana majoriti adalah daripada keturunan India,'' katanya.
Sehubungan itu, Shahrizat merayu ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil lahir supaya tampil mendapatkan dokumen pengesahan kelahiran sama ada melalui ketua kampung atau pihak berkuasa tertentu bagi mengesahkan bahawa mereka lahir di negara ini.
Katanya, langkah itu wajar agar kanak-kanak tersebut tidak akan tercicir dari alam persekolahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan