Oleh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA - Buat pertama kalinya rumusan konvensyen Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2009 akan dijadikan asas penggubalan Dasar Pertanian Negara 2011-2016.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, keputusan itu selaras dengan gagasan 'Rakyat Didahulukan' dan tiada lagi polisi kerajaan tahu segala-galanya.
''Dasar Pertanian Negara yang baru akan dibuat melalui HPPN 2009 dan secara kebetulan Dasar Pertanian Negara sedia ada akan tamat tempohnya pada tahun depan.
''Kita bukan hanya mahu dengar dan mengambil kira pandangan pakar-pakar dalam bidang pertanian tetapi juga masyarakat akar umbi yang terbabit secara langsung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan HPPN 2009 selama seminggu di Melaka bermula 10 Ogos ini di sini hari ini.
Sejurus selepas sidang akhbar itu, beliau menyerahkan hadiah wang tunai RM1,000 kepada Azrujubir Rejab yang memenangi tempat pertama Pertandingan Mencipta Tema HPPN 2009.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual merasmikan HPPN 2009 yang dijangka dikunjungi 200,000 orang.
HPPN 2009 yang bertemakan Pertanian Menjana Ekonomi Negara akan memberi peluang interaksi dan membina jaringan perniagaan di antara pemain utama dalam industri pertanian.
Ia juga akan mendedahkan perkembangan terkini dan peluang pelaburan dalam bidang pertanian.
Noh memberitahu, matlamat utama Dasar Pertanian Negara yang baru adalah untuk meningkatkan produktiviti pertanian dalam negara serta mengurangkan kadar import makanan.
Pada masa sama, beliau menambah, pihaknya mahu memberi penekanan kepada sistem pertanian dan bukannya makanan yang berimpak tinggi.
''Kalau boleh kita nak atasi sebarang krisis makanan sama ada yang melanda negara ini ataupun di peringkat global di masa depan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan