BERNAMA
KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membayar elaun sara hidup RM200 kepada 55,000 nelayan yang berdaftar dengan agensi itu secara tunai mulai September ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, kaedah pembayaran secara terus itu akan dimulakan di Kuala Selangor 10 September ini diikuti dengan tempat-tempat lain di seluruh negara secara berperingkat.
Katanya, semua Anggota Parlimen akan diberikan tugas untuk membuat bayaran itu pada 10 haribulan setiap bulan.
"Sekarang, elaun sara hidup RM200 itu dibayar melalui mesin ATM," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada pegawai dan kakitangan LKIM seluruh negara di sini, hari ini.
Kerajaan memperuntuk RM11 juta sebulan sebagai bayaran elaun berkenaan sejak ia diperkenalkan beberapa tahun lepas.
Noh berkata, sejak pembayaran elaun dibuat melalui mesin ATM, LKIM tidak dapat mengawasi pembangunan dan taraf hidup nelayan yang diberi elaun berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan itu diambil bukan bertujuan menyusahkan golongan tersebut.
"Setakat ini, pelbagai bantuan kita berikan untuk membantu nelayan, tetapi hasil daripada pemberian itu amat mengecewakan. Diberi bot, bot dijual, kita bagi pukat, pukat pun dijual.
"Tetapi kita yakin, melalui pembayaran secara terus, nelayan-nelayan yang diberikan elaun sara hidup dapat diberikan motivasi dan seterusnya digerakkan untuk memajukan diri dalam industri yang semakin berkembang ini," katanya.
Noh berkata, penerima elaun perlu datang sendiri ke tempat yang ditetapkan oleh Anggota Parlimen terbabit untuk mengambil elaun mereka dan jika mereka tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan, elaun bulanan itu tidak akan diberikan.
"Kita bukan hendak menyusahkan rakyat, tetapi hanya dengan cara itu kita boleh mendekatkan nelayan dengan jabatan dan seterusnya memberikan motivasi dan menerap semangat membangunkan modal insan kepada mereka," katanya.
Pada sidang media sama, Noh melarang semua petugas dan pegawai sambilan agensi dan tiga jabatan di bawah kementerian itu menghadiri sebarang mesyuarat atau kursus yang dikendalikan kerajaan-kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan yang kini ditadbir oleh kerajaan pembangkang.
"Kalau nak sertai juga, cukup sekadar kita menghantar pegawai bawahan manakala pegawai kanan diwajibkan menghadiri semua Mesyuarat Negeri Persekutuan yang telah diwujudkan oleh kerajaan persekutuan," katanya.
Mengenai usaha untuk meningkatkan kualiti penjawat awam seperti yang disarankan Perdana Menteri, Noh berkata beliau mahu semua jabatan dan agensi terbabit menyediakan borang khas pelanggan.
Katanya, surat pekeliling mengenai borang pelanggan itu akan dikeluarkan September ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan