HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Julai 2009

Laporan curi pasir bukti keberkesanan pentadbiran Pakatan Rakyat

Saidah Hairan


KLANG - Kerajaan negeri Selangor mengalu-alukan kekerapan laporan pelbagai pihak termasuk pimpinan BN mengenai kejadian curi pasir kerana ia dapat membantu keberkesanan pelaksanaan kerajaan Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, baru kali ini kerajaan tahu ramai orang yang mencuri pasir tetapi kejadian mencuri pasir itu bukan baru berlaku tahun ini tetapi ia sudah berlaku lebih 20 tahun.

Bezanya kata beliau, ketika di bawah pentadbiran kerajaan BN kejadian mencuri pasir dilakukan bersama-sama ahli politik di mana ahli Umno dan MCA turut diberi lesen.

"Sekarang saya tidak bagi kepada sesiapa lesen itu, jadi semakin lama makin kurang orang yang mencuri pasir," katanya dalam sidang media selepas meletakkan batu asas sekolah Islam Al-Farabi, kampung Delek, Klang.

Beliau berkata, apabila kerajaan sudah mula merakyatkan ekonomi Selangor (MES) semua rakyat sudah mengetahui bahawa pasir itu adalah hak mereka kerana hasil penjualannya akan disalurkan dalam Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

Justeru katanya, berasaskan itu semua rakyat Selangor berasakan hasil pasir adalah hak mereka sebab itu mereka melaporkan kepada pihak kerajaan jika ada kejadian curi pasir.

"Jadi semua pantau siapa curi pasir mereka buat laporan, ini satu usaha yang bagus," katanya.

Beliau merayu kepada rakyat supaya tunjukkan kepada kerajaan mana-mana tempat yang masih berlaku kejadian curi pasir supaya pemantauan dapat dilakukan segera. - mns_

Tiada ulasan: