HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Julai 2009

Nasrudin nafi ditegur pemimpin atasan

Jimadie Shah Othman


Dewan Pemuda PAS sekali lagi menafikan mendapat teguran daripada pemimpin atasan parti itu sehingga terpaksa membuat penjelasan berulangkali berhubung dakwaan salah lapor media mengenai pertemuannya dengan Pemuda Umno kelmarin.

"Tidak ada apa-apa (teguran) lagi," kata Ketuannya, Nasrudin Hassan Tantawi sambil menegaskan bahawa beliau berpuas hati dengan laporan terkini di media mengenai perkara itu.

"Insya-Allah, tidak ada lagi (penjelasan) selepas ini," ketika ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Rabu lalu, Nasrudin mengadakan sidang akhbar bersama dengan Timbalan Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, di lobi Parlimen hari ini selepas menyerahkan surat jemputan untuk mengadakan wacana ilmiah berhubung isu 'benarkah perjuangan Umno tidak bercanggah dengan Syariat Islam'.

Ia ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu pada 21 Jun lalu, yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis.

Kedua-dua sayap itu bersetuju menjayakan program tersebut dengan menubuhkan satu jawatankuasa yang sedang menetapkan masa, tarikh, tempat dan format yang akan ditetapkan kemudian.

Bagaimanapun, kehadiran bersama Nasrudin dan Razali menarik perhatian kerana ia diadakan tidak lama selepas Pakatan Rakyat menolak cadangan perbincangan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno.

Keluar kenyataan

Pertemuan tersebut dilaporkan oleh pihak media sebagai langkah baru Dewan Pemuda PAS dengan mengadakan perbincangan ilmiah dengan pergerakan Pemuda Umno.

Khairy - yang tidak hadir di sidang media itu - kemudian menyambut baik pelawaan Pemuda PAS dan melihatnya sebagai perkembangan besar yang selama ini sukar dijayakan kerana sering "diganggu parti lain dalam pakatan pembangkang".

Bagaimanapun, enam jam selepas sidang media itu, setiausaha Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa wacana itu tidak bertujuan untuk mengadakan kerjasama politik dengan Umno.

Di samping menyelar pihak media kerana didakwa salah lapor, Pemuda PAS turut mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

Semalam, naib ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabri Yusof memanggil sidang di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur bagi menjelaskan perkara yang sama, diikuti kenyataan medianya selepas itu.

Mengulas penjelasan berulang kali itu, Nasrudin berkata, Pemuda PAS berbuat demikian untuk memastikan maksud sebenar mereka benar-benar sampai kepada orang ramai.

"Kita dapati terdapat laporan salah dan perlunya penegasan (dibuat). Kita tidak ada kekuatan media seperti Umno. Mereka ini cakap sekali mesejnya sampai kepada berjuta-juta orang.

"Apa yang kita lakukan ialah bagi memastikan mesej kita sampai," katanya.

Ditanya mengenai kewajaran memberikan amaran keras terhadap media, Nasrudin berkata, perkara itu dipertimbangkan supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan di atas kejujuran dan keikhlasan mereka.

"Persepsi salah ini mengundang fitnah. Amaran kita itu supaya tidak berlaku fitnah. Kita jujur dan ikhlas. Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan," katanya.

Tiada ulasan: