Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sanggup merekrut anak saudara perempuannya untuk mengedar dadah bersamanya sebelum mereka dicekup polis dalam satu pemeriksaan ke atas keretanya di Taman Midah, Cheras di sini, Sabtu lalu.
Turut ditahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan semua mereka baru tiba dari Genting Highland dipercayai menghantar bekalan Eramin 5 dan Ecstasy untuk kelab malam di sekitar Cheras.
Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata penahanan itu dilakukan anggota perondanya yang mencurigai kenderaan dinaiki ketiga-tiga suspek yang berhenti berhampiran sebuah stesen minyak.
“Hasil pemeriksaan awal, anggota peronda terbabit menemui 80 pil Eramin 5 dalam poket baju seorang daripada mereka.
“Susulan itu, pemeriksaan lanjut dilakukan di but kereta Proton Waja terbabit dan menemui 23 peket plastik lutsinar mengandungi 1,240 pil Ecstasy pelbagai warna serta 3,250 pil Eramin 5 disembunyikan dalam sebuah kotak kek dengan nilai dianggarkan hampir RM100,000,” katanya.
Katanya, kereta dinaiki suspek dilaporkan hilang di Putrajaya, Februari lalu.
Amir berkata, pihaknya turut menemui beberapa peralatan memproses dadah, alatan menghisap syabu serta dua peket bahan mentah yang kandungannya belum dikenal pasti dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian lanjut.
“Suspek gadis yang berusia 18 tahun mendakwa dibuang sekolah sejak di tingkatan dua dan sering mengikut bapa saudaranya yang berusia 30-an untuk mengedar dadah sejak beberapa tahun lalu. Sebagai balasan, dia akan mendapat wang membeli syabu bagi kegunaannya.
“Semua mereka berasal dari Perak dan positif ujian air kencing serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun masih tegar melakukan kegiatan terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Cheras, semalam.
Amir berkata, pihaknya masih menyiasat rangkaian pasaran dadah terbabit sama ada diedarkan di sekitar Cheras dan Kuala Lumpur atau ke negeri lain.
“Semua mereka direman enam hari mengikut Seksyen 302 Akta Dadah Berbahaya, sabit kesalahan hukuman gantung mandatori,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan