Jimadie Shah Othman
Seorang mahasiswa yang dicari bagi membantu siasatan kes menconteng dan dakwaan cubaan membakar di sebuah dewan Universiti Malaya (UM) belum bersedia menyerahkan diri kepada polis.
"Walaupun saya tegar memegang pada prinsip berani kerana benar, namun peguam telah menasihati saya supaya tidak menyerah diri kepada pihak polis pada masa sekarang atas pertimbangan- pertimbangan tertentu," kata Shazni Munir Mohd Ithnin.
"Saya nak tanya pihak polis, atas alasan apa untuk terus-terusan mencari saya sebagai suspek? Sebab saya konsisten menentang kerajaankah?
"Atau sebab saya ini presiden PMIUM dan mereka yang dituduh ahli PMIUM? Macama tu ke? Atau bagaimana?"
Shazni Munir, yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), bersama Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani dicari polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam (API), 24 Jun lalu.
Selain contengan "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya", polis juga mengesan simbahan petrol di permaidani yang bakal dilalui isteri perdana menteri Rosmah Mansor untuk menghadiri satu program di situ beberapa jam selepas kejadian jam 4 pagi itu.
Kelmarin, dua lagi pelajar API Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dihadapkan ke mahkamah berhubung insiden tersebut yang dipercayai dilakukan oleh lima orang – termasuk tiga suspek yang dikehendaki polis.
Menulis di dalam blognya Perubah Zaman, Shazni Munir sebaliknya menuntut Rosmah yang didakwanya melaku “dosa-dosa besar” diseret bersama ke muda pengadilan dalam kesnya.
"Ya, baru adil, kerana Rosmah dan saya sama-sama bebas sekarang," katanya.
Beliau mengakui memang menentang isteri Datuk Seri Najib Razak berdasarkan kenyataan-kenyataan yang pernah dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin – mengaitkan Rosmah dengan pembuhan Altantuya Shaariibuu – dan tiga klip video yang memburuk-burukkan wanita pertama negara.
Rosmah menafikan pembabitan dengan wanita Mongolia itu tetapi masih berdiam diri berhubung dakwaan-dakwaan berat dalam dokumentari pendek di Youtube.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan