HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Julai 2009

Selangor Bakal Lancar HyWIN 1 Januari 2010

TV SELANGOR


SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan syarikat Prosontech Sdn Bhd bagi melaksanakan program “HyWIN” iaitu Hybrid Wireless Infrastructure Network di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, program ini mampu menghubungkan rakyat Selangor dengan kemudahan internet tanpa wayar yang dijangka bermula di Shah Alam, pada 1 Januari 2010.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan negeri, manakala Prosontech Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Zakree Wan Mohamad Zain.

Tan Sri Khalid dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kerajaan negeri mensasarkan tahun 2015 untuk menghubungkan seluruh Selangor dengan kemudahan ini, seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Usaha ini membuka peluang kepada semua rakyat dapat mempunyai rangkaiannya dan sekaligus dapat mengunakan maklumat tersebut untuk bersaing dalam arus ekonomi yang tegas sekaligus dapat menikmati hasil usaha dan tingkatkan taraf kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, dasar U-WISEL atau Ubiquitous Wi-Fi Selangor dirangka oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan projek pembinaan infrastrurtur internet jalur lebar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Empat dasar yang telah digariskan dalam U-WISEL, iaitu liputan, capaian, kelestarian dan impak ekonomi.

“Dasar U-WISEL ini merupakan campuran di antara talian tetap dengan jaringan tanpa wayar bagi memastikan projek pembinaan infrastruktur internet jalur lebar dilaksanakan dengan jayanya, lebih ramai yang mengunakannya lebih berjaya program ini,” ujarnya.

Katanya, Selangor bakal menjadi perintis kepada program peningkatan taraf hidup , taraf ekonomi dan taraf pengetahuan rakyat kepada semua negeri di negara ini.

Tiada ulasan: