Kerajaan jamin tunai haji tanpa tunggu lama
Oleh Azman Mahmood
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan mengutamakan umat Islam yang berusia 75 tahun ke atas untuk menunaikan haji bagi mengelak mereka terpaksa menunggu lama untuk ke Makkah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata Tabung Haji sedar masalah ramai bakal haji yang terpaksa menunggu giliran terlalu lama sebelum tersenarai untuk menunaikan haji.
"Mereka yang memohon untuk ke Makkah bukannya sedikit, dan kita perlu mengambil kira semua ini termasuk golongan yang berumur 75 tahun ke atas.
"Kita dapati sikap rakyat Malaysia suka menunaikan haji ketika usia sudah lanjut," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ihtifal dan Pelancaran Dana Sekolah Islam Al Imtar yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.
Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesal dan kecewa apabila masih ada lagi umat Islam di negara ini menggunakan khidmat syarikat swasta yang tidak berdaftar dengan Tabung Haji untuk menunaikan haji.
Katanya, berikutan itu timbul masalah bakal haji yang terkandas kerana tidak ada tempat untuk penerbangan haji yang diuruskan syarikat berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan