HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Disember 2009

50,000 penduduk dipindah


Lahar mengalir keluar daripada letusan gunung berapi Mayon dari bandar Legazpi, wilayah Albay di tenggara Manila, semalam. - AFP

Reuters

MANILA - Pihak berkuasa Filipina mula memindahkan kira-kira 50,000 penduduk dari sekitar Gunung Mayon hari ini apabila gunung berapi paling aktif di negara ini menghamburkan lumpur dan batu.

Gunung Mayon yang terkenal kerana bentuk kon yang hampir simetri dan terletak di kawasan tanaman kelapa di tengah Filipina, mula meluahkan lahar awal minggu ini dan pakar gunung berapi menjangka satu letusan besar berlaku dalam beberapa hari lagi.

"Kami dalam proses memindahkan hampir 10,000 keluarga dari zon bahaya sekitar enam hingga lapan kilometer dari gunung berapi itu," kata ketua jabatan keselamatan awam wilayah Albay, Cedric Daep.

Beliau berkata, penduduk terlibat ditempatkan sementara waktu di bangunan sekolah dan gimnasium awam, di mana pegawai kerajaan tempatan mendirikan pusat bantuan makanan dan keperluan lain.

"Bekalan makanan untuk semua penduduk itu mencukupi bagi tempoh sebulan," kata Daep, dengan menambah pertubuhan kemanusiaan dan bukan kerajaan telah berjanji untuk menghantar makanan, air dan selimut.

Ketua pakar gunung berapi Filipina, Renato Solidum memberitahu Reuters semalam, tahap berjaga-jaga di sekitar Gunung Mayon ditingkatkan kepada Paras 3, menandakan bahan gunung berapi sudah berada dekat puncak kawah dan 'bahan pijar' semakin terlerai.

Paras 4 menandakan letusan boleh berlaku pada bila-bila masa dan Paras 5 bermaksud letusan sedang berlaku.

"Kami memantau tahap pergolakan yang tinggi dan letusan berbahaya boleh berlaku tidak lama lagi," kata Solidium.

Gunung Mayon adalah yang paling aktif antara 22 gunung berapi di Filipina, setelah meletus lebih 50 kali dalam tempoh empat abad lalu.

Letusan paling dahsyat berlaku pada Februari 1841 apabila aliran lahar menenggelamkan sebuah pekan, menyebabkan 1,200 orang terbunuh, manakala letusan kali terakhir berlaku pada 2006.

Tiada ulasan: