SINAR HARIAN ONLINE
KLANG – Seorang wanita difahamkan bergelar ‘auntie’ dan dua anak perempuannya yang dipercayai menjadi dalang dalam sindiket jual bayi haram menghadapi tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
‘Auntie’ tersebut, Lian Kim Wan, 56, anaknya, Ang Bee Ling, 36, dan Ang Bee Churn, 31, didakwa atas kesalahan memperdagangkan tiga bayi perempuan berusia sehari bagi tujuan eksploitasi.
Semua pertuduhan mendakwa, m:ereka secara bersama-sama memperdagangkan bayi yang dilahirkan dua wanita Indonesia bernama Kristina dan Ninik Rahayu Suhaimi (akuan lisan) serta seorang wanita Filipina dikenali sebagai Anie Lida.
Anak beranak itu didakwa memperdagangkan bayi-bayi tersebut antara jam 2 pagi hingga 5 pagi di Hospital Metro Maternity pada 3 Disember lalu.
Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noorbaya Jamil dan Aimi Syazwani Sarmin.
Sementara semua tertuduh yang ditangkap pada hari kejadian diwakili peguam Muhammad Affendy Mohd Yusop.
Mereka yang mengaku tidak bersalah dibenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan mesti melaporkan diri ke balai polis sekali sebulan.
Hakim Yong Zarida Sazali menetapkan sebutan semula kes pada 22 Januari depan.
Kelmarin, kes mendapat liputan luas akhbar tempatan berikutan polis berjaya menumpaskan sindiket jual bayi haram tersebut dengan tertangkapnya sembilan suspek dipercayai dalang utama sindiket.
Sindiket difahamkan telah aktif selama lima tahun di sekitar Banting dan bandar ini yang melibatkan wanita asing antaranya dari Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Wanita berkenaan yang mengandung anak luar nikah dijanjikan habuan RM5,000 dan akan dijaga oleh ‘auntie’ berkenaan sehingga bersalin.
Menurut siasatan, wanita-wanita hamil itu akan menjalani pemeriksaan di sebuah klinik swasta di sini sehingga melahirkan bayi mereka dan proses pengesahan kelahiran turut dibuat di klinik tersebut.
Setiap bayi akan dijual antara harga RM15,000 hingga RM20,000 kerana bergantung pada keadaan paras rupa dan jantina bayi-bayi tersebut.
Pembeli bayi dipercayai terdiri daripada pengurus syarikat, pensyarah dan pekebun.
Sindiket tumpas dalam Ops Kasih polis dan dalam operasi itu lima bayi termasuk dua pendatang haram Indonesia sedang sarat mengandung berjaya diselamatkan.
Sumber sebelum ini menyatakan, semua suspek yang ditahan berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan