UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Enam negeri menunjukkan peningkatan kes denggi pada minggu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.
Negeri tersebut ialah Kedah, Sabah, Pahang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang menunjukkan peningkatan kes denggi dilaporkan dari 22 hingga 28 November lalu.
Bagaimanapun, jelasnya, tiada kes kematian dilaporkan.
"Sebanyak 764 kes denggi dilaporkan di seluruh negara dan enam negeri mencatatkan peningkatan kes dengan tiada kematian berbanding 819 kes dengan tiga kematian pada minggu lalu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, sehingga kini terdapat 10 lokasi pembiakan denggi sedang dipantau di seluruh negara dengan tambahan tiga lokasi baru, dua di Sarawak dan satu di Pahang.
Jelasnya, empat daripada 10 lokasi itu masih mempunyai kadar pembiakan aedes yang tinggi.
Sementara itu, katanya, enam lokasi lain telah di kenal pasti bebas daripada wabak tersebut.
"Kementerian memandang serius peningkatan kes tersebut terutama hasil siasatan Jabatan Kesihatan mendapati indeks pembiakan bagi empat kawasan mangsa denggi berkenaan amat tinggi iaitu 40 peratus," jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Ismail berkata, sejumlah 162 kes Chikungunya dilaporkan pada minggu ini dengan penurunan 113 kes berbanding minggu lalu 275 kes di seluruh negara.
Katanya, Sarawak menyumbang 96 peratus daripada bilangan kes Chikungunya minggu lalu.
Pada masa sama, katanya, tiada kes kematian disahkan akibat jangkitan Influenza A ( H1N1 ) dilaporkan di seluruh negara sejak minggu lalu dan menjadikan jumlah kematian akibat virus tersebut kekal 77 orang.
Bagaimanapun menurutnya, dalam tempoh itu 589 pesakit baru dengan akibat simptom serupa dengan H1N1 (ILI) dimasukkan ke hospital untuk dirawat manakala 573 kes ditahan wad.
"Setakat 28 November, jumlah semasa kes ILI yang masih mendapatkan rawatan di seluruh negara adalah 372 kes di 53 hospital di seluruh negara, termasuk satu di hospital swasta," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan