HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Disember 2009

H Fansuri: Jangan larang orang hadir... haramkan terus BTN!

H Fansuri


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan YB Dr Halimah Ali membangkitkan suatu hal yang sepatutnya disebutkan sejak awal-awal lagi ketika Pakatan Rakyat dapat memerintah Selangor sejak Mac 2008.

Hal itu berkaitan dengan usaha mengelakkan para kakitangan kerajaan negeri, pelajar daripada terus mengikuti kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN).

Saranan dan arahan ini amat baik dan sepatutnya semua negeri di bawah naungan PR menguatkuasakan arahan agar para kakitangan kerajaan, para pelajar di negeri masing-masing tidak terlibat dalam upacara rasmi; membasuh otak mereka ini.

Ketika menuntut di Kolej Mara Kulim, 1996, saya terlibat dengan kursus ala tentera dekat Jalan Junjong di Kulim. Ia berhampiran dengan MRSM Polis kalau tidak salah atau mungkin kem tersebut jauh sedikit dari situ. Kem bina semangat itu, kebanyakan penceramahnya tentera atau agamawan dari Kor Agama Tentera (Kagat) yang berpidato dengan suara lantang penuh bersemangat.

Ini zaman sebelum meletusnya reformasi 1998. Keadaannya tentu berubah pada zaman sekarang.

Sekitar 2005, saya dan seorang mahasiswa Soh Sook Hwa hampir menempuh zaman berijazah di USM. Kebetulan, kami tidak memasuki kursus anjuran BTN di Dewan Tunku Syed Putra (DTSP). Kenapa saya tidak masuk kursus sehari itu pun, tidak diketahui kerana hal itu berlangsung sudah lama.

Yang masih saya ingat, mahasiswa diugut, jika tidak masuk kursus BTN itu, maka mereka sukar berijazah dan antara syarat untuk lengkap berijazah, ialah mereka mesti mengikuti kursus BTN.

Bukti sukar dicari, saksi sukar tampil

Saya percaya, akan ada mereka yang terbabit dalam hal ini, akan menafikan semua ini, tapi itu hal biasa. Semua orang akan buat jahat, dan ketika ada pihak mendedahkan, maka orang yang telah berbuat jahat dan serong itu akan segera menafikan. Mereka akan meminta bukti dan saksi.

Masalahnya, ketika mahasiswa mula memasuki DTSP ini, segala alat perakam, alat elektronik seperti hp, telefon bimbit akan diminta dikeluarkan dan diletakkan di satu sudut lain. Selepas berakhirnya ceramah, barulah kesemua alat peranti itu dikembalikan.

Jadi, sangat sulit mendapatkan bukti bersuara dalam bentuk audio dan bukti gambar bergerak, video hp, klip video yang boleh dirakam melalui telefon bimbit. Saudara sedia maklum, zaman itu, blog belum lagi popular termasuklah YouTube dan mahasiswa belum lagi mesra teknologi.

Jika tiada bukti, yang ada hanyalah saksi. Tapi, bagai dimaklum bahawa budaya mahasiswa USM pada zaman itu, mereka enggan tampil ke depan sebagai saksi mata. Manalah ada pelajar yang sanggup mengambil risiko. Jadi, yang terlebih afdal mereka lakukan ialah membuang resah di Restoren Pelita, di Restoren Subaidah USM, di café Bakti, Harapan termasuklah di bilik balai Berita Kampus (BK).

Kisah si 'Pudin'

'Pudin', petang itu memandang tepat ke arah wajah saya lama-lama, seakan-akan ada gelombang besar, membadai di hatinya. Kemudian muncul dua tiga orang lagi rakan-rakan yang baru tiba, lalu mereka pun tercegat memandang saya,seperti mahu memberitahu saya sesuatu hal besar.

Oleh sebab 'Pudin' jarang berbual dengan saya maka kata-katanya lebih diyakini. Apabila seseorang yang jarang berbual dengan kita, tiba-tiba tergerak hatinya untuk berbual, ini bermaksud, dia mahu bercakap sesuatu yang penting dan kemungkinan dia mahu menipu adalah sifar.

"Nama kau naik tadi dalam DTSP," kata Pudin dengan matanya masih bercahaya, tak pernah dia melihat tepat ke dalam anak mata saya dalam-dalam. Ini kerana, sebelum ini kami memang kekok berbual.

Melihatkan saya masih dalam kekaburan, Maimunah menambah, "Dia orang kutuk abang sungguh ni! Mereka kata, inilah wajah pembangkang dalam universiti."

"Muka kau dan muka Soh Sook Hwa ditayangkan dalam 'slide' tadi," tambah Pudin lagi, mengiyakan bicara Maimunah itu. "Terperanjat kami, kalau kau datang tadi, tak tahulah nak jadi macam mana."

Apabila saya memeriksa hal itu dengan Sook Hwa, berita itu rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan beliau. Rakan-rakannya dalam Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) dan Dema USM, siap memaklumkan hal itu kepadanya. Dakwaan penceramah itu adalah seperti yang biasa dibaca dalam Idealis Mahasiswa.

Rakan saya itu dikatakan berfahaman komunis dan akhbar Berita Kampus (BK) pula dikatakan sudah pun menjadi alat pembangkang di universiti sejak saya memimpin akhbar tersebut.

PKPIM haram?

Seorang siswa UIAM yang menganggotai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pernah menelefon saya kerana dia terkejut bercampur geram ketika melihat bagaimana penceramah BTN telah menyatakan dalam ceramahnya, bahawa PKPIM adalah badan pertubuhan pelajar yang haram.

Saya percaya penceramah BTN itu tersilap. Dalam keghairahan menghalalkan GPMS dan mengharamkan badan pertubuhan lain yang tidaklah senada seirama, sehati berdansa dengan fikrah mereka, pemidato itu telah terlanjur menyatakan PKPIM adalah pertubuhan haram walhal pertubuhan itu memang sah.

Penceramah itu muda-muda belaka dan tentu saja tidak arif sejarah bangsa apatah lagi sejarah lembaga, pertubuhan pelajar. Mereka hentam kromo saja --- Gamis, Karisma, Dema, PKPIM adalah haram.

Demikianlah fitnah yang terhambur rentetan daripada kebengapan ekoran kebangangan mereka sendiri adanya. Ketika bahan ini ditulis TPM Muhyiddin Yassin bersinis kepada Lim Kit Siang. Beliau meminta Lim mengikuti acara BTN untuk melihat sendiri jika benar BTN ada unsur-unsur gelapnya.

Kalau Lim, Halimah Ali, Anwar Ibrahim dan lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat masuk tentulah pidato lain skripnya, sama keadaannya seperti lawatan YB, menteri di kawasan mundur. Jalan becah yang digenangi air bah, tempat berendamnya bocah-bocah kecil tentu saja akan diturap dengan lenditnya kalau YB tiba.

Muhyiddin mungkin boleh bertanyakan orang kuat BTN sebelum ini seperti Tan Sri Nordin Kardi, untuk meneliti laporan program yang mereka lakukan sebelum ini. Siapakah penceramahnya, siapa yang terlibat dalam usaha 'brain-wash' calon-calon MPP yang berentap merebut jawatan YDP MPP USM sesi 2004/2005?

Pada saat itu, ada dua kumpulan yang saling berselisih; Azimin Zul Izzi Aimi daripada pro-mahasiswa dan Fakhrul Razi Sunip daripada Aspirasi. Jumlah kedudukan yang tidak jauh berbeza itu menyebabkan, menurut ceritanya, BTN terpaksa melibatkan diri dalam usaha 'brain-wash' kesemua siswa yang menang bertanding itu.

Bolehkah Muhyiddin bertanya kepada Nordin bagaimanakah proses 'brain-wash' yang dilakukan hingga menyebabkan calon Aspirasi boleh menjadi Presiden MPP walhal menurut undian, sebenarnya dia tidak boleh memegang jawatan tersebut? Sehingga kini, saya masih mengkaji bagaimana hal ini boleh berlaku.

Teknik 'melarikan' siswa ke kem-kem bina semangat atau kem BTN untuk tujuan 'brain-wash' ini terjadi lama sebelum tindakan melarikan dua, tiga Adun hingga menyebabkan Pakatan Rakyat Perak rebah.

Nampaknya BTN lebih hebat dan cekap dalam hal-hal ini. Masih saya ingat, ketika siswa USM melahirkan protes sulung lewat pertanyaan berganda di DTSP, USM, maka Nordin Kardi sudah mengilas jawapan itu dengan meminta mereka agar tidak menyemakkan kepala Dr Mahathir yang banyak memikirkan hal negara.

"Kita bukan tak boleh berdebat, tapi nampaknya kita masih gemar memilih cara nomad," katanya. Nomad, adalah cara orang gasar, orang kasar suka memilih kaedah berperang, menumpahkan darah berbanding mengadakan debat dan pertemuan.

Saya masih ingat kalimat nomad yang dipertuturkan Nordin ini kerana tertarik dengan gaya penyampaiannya yang memikat. Nordin, dengan penerangannya berhubung Serangan Subuh yang dilancarkan Dr M; menyebabkan Guthrie berpindah milik kepada kita telah memikat mahasiswa USM itu.

Khabarnya, modal Serangan Subuh ini masih laku didendangkan di kampus untuk menaikkan rasa kagum ke atas Dr Mahathir. Dan, baru-baru ini seorang rakan turut mengiyakan hal itu. "Memang ada lagi hujah Serangan Subuh dalam BTN itu," katanya.

Para penceramah, pemidato BTN ini memang terkenal handal dan hebat belaka. Tetapi, sepandai-pandai tupai melompat, akhir jatuh ke tanah juga. Dalam debat minyak antara Anwar Ibrahim melawan Shabery Cheek di TV9, ketika Nordin mengajukan soalan, ada kelemahan juga pada pertanyaan beliau itu ketika Anwar 'argue' Nordin semula.

Dalam keadaan 'si dia' yang mahu membuat silap mata menghilangkan Balasundram ke Chennai, akhirnya pulangnya Bala mengundang bala ke atas 'si dia' itu. Dan, sepandai-pandai kapal selam menyelam, akhirnya ia timbul ke permukaan jua. Bom C4 kalau diletupkan, akhirnya abu mayat Altantuya jugalah yang dikutip orang.

Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan daun nyiru. Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata pula tidak nampak. Eh, banyak sangat pepatah ni, orang tanya juga, siapakah penceramah di DTSP, USM yang tohmah bukan-bukan ke atas kami; pelajar kewartawanan dahulu?

Dia bukannya askar. Dia masih muda, bekas pimpinan siswa di salah sebuah universiti di Malaysia Barat dan kemudaan itu menyebabkan saya tidak fikir beliau arif dalam serba-serbi kehidupan pelajar di USM. Kerana dia BTN, maka undang-undang seperti di bawah mereka saja. Tohmahan apa pun, akhirnya tidak dihakimi dengan jujur dan adil. Dan, sehingga kini saya masih lagi memburu jawapan dan teka-teki.

Seperti yang disebut tadi, dia bukanlah askar, maka oleh kerana itu, namanya bukan Kolonel Mat dan lain-lain pangkat gelaran dalam tentera. Kalau kenal dan terjumpa orang yang bernama Jabdin, haraplah dapat dimaklumkan kepada saya.

Mungkin dengan cara ini, akan memudahkan lagi siasatan kita dan mengukuhkan segala andaian serta pendapat Dr Halimah Ali bahawa BTN memang digunakan sebagai acara 'brain-wash'. Walaupun cerita ini telah lama berlalu, tetapi ia kenangan kelam yang tetap mendekam dalam jiwa raga sesiapa pun yang pernah dimangsakan oleh BTN itu.

Terima kasih kepada Dr Halimah Ali kerana telah mengapungkan isu ini. Semoga setiap negeri di bawah Pakatan Rakyat akan meniru hal yang sama hendaknya.

Tiada ulasan: