SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Kerajaan Pusat tidak memahami kepentingan bahasa Inggeris sebagai sumber ilmu, malah tidak menitikberatkan penggunaannya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, kejayaannya diabaikan apabila memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kembali menggunakan bahasa Malaysia bagi tujuan itu.
“Kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang berilmu dan berkelulusan universiti. Namun itu tidak bermakna mereka faham keperluan dan kepentingan ilmu. Pemimpin yang tidak memahami kepentingan ilmu, terutamanya dalam bidang sains, tidak akan membawa kemajuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Komponen Kepimpinan dan Dasar bagi Masyarakat Berilmu: Amalan Terbaik Yang Dicadangkan bagi Negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)’ pada Persidangan Akademi Sains Dunia Islam ke-17 (IAS), semalam.
Persidangan itu dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di sebuah hotel dekat sini.
Dr Mahathir berkata, hanya dengan mengusai bahasa Inggeris, rakyat negara ini mampu memperoleh ilmu dengan lebih cepat dan tidak tersisih daripada arus pembangunan.
Katanya, kegagalan berbuat demikian akan membuka jalan kepada pihak yang lebih berilmu menguasai dan mempengaruhi mereka sama ada secara langsung atau sebaliknya.
“Apabila mereka (Kerajaan Pusat) membuat keputusan menukar semula pengajaran subjek matematik dan sains kepada bahasa Melayu, saya tidak fikir mereka faham kepentingan bahasa Inggeris. Ilmu datang dalam bahasa Inggeris, Kita mungkin akan dijajah sekali lagi sekiranya mengabaikan bahasa ini,” katanya.
Dr Mahathir berkata, penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran atau pertuturan tidak akan menukar taraf sesuatu kaum, tetapi sebaliknya menjadikan masyarakat itu lebih berilmu.
“Adakah dengan mengutamakan bahasa Inggeris untuk menguasai ilmu dianggap menghina bahasa ibunda? Walaupun kita seorang yang patriotik dan mahu mempertahankan kaum dan bahasa ibunda, ia tidak akan menjadikan kita berjaya jika tidak mempunyai ilmu,” katanya.
Terdahulu, dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, ilmu pengetahuan berkembang dengan pesat, terutama dalam bidang sains, sedangkan buku serta penulisan tentang mata pelajaran ini, menggunakan bahasa Inggeris.
Kata beliau, ada kemungkinan kepercayaan tentang sesuatu perkara dalam bidang sains sebelum ini akan berubah, bukan seperti dalam bidang geografi dan sejarah.
“Ilmu sains tidak statik, berbeza dengan bidang geografi dan sejarah di mana faktanya sudah tersusun sedmikian rupa dan terhad. Dalam bidang sains, kita boleh persoal prinsip-prinsip saintifik dan membuat keputusan sama ada ia betul atau tidak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan