SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Noh Omar bertekad tidak akan melayan sebarang kerenah yang ditimbulkan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu.
Menurutnya, tindakan Ronnie yang mengajaknya berdebat secara terbuka berhubung Projek Pembinaan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan empat rumah nelayan di Pasir Penambang disifatkan sebagai membuang masa.
Katanya, tiada keperluan debat terbuka sedangkan semua pihak sudah jelas dengan bahan bukti yang ditunjukkan sebelum ini.
“Saya tidak lihat debat yang disarankan (Ronnie) itu bermanfaat. (Ronnie) sengaja memutarbelitkan keadaan. Dia juga seolah-olah mahu menegakkan benang yang basah.
“Saya amat yakin jika debat itu diteruskan, ia tidak membawa sebarang makna. Lagipun debat bukan penyelesai masalah, sebelum ini pun kita sudah adakan sesi dialog dengan (Ronnie) dan dialog itu seakan-akan macam debat juga. Jadi, buat apa nak buat debat lain,” katanya.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran itu juga sentiasa berubah.
“Sebelum ini dia suruh hentikan projek, lepas itu suruh buat semula projek berkenaan. Apa yang dia mahu sebenarnya?
“Orang macam ni diibaratkan sebagai orang yang tidak ‘reti bahasa’. Sebab itu saya tak nak layan orang macam dia. Sekejap begitu, sekejap begini,” kata Ahli Parlimen Tanjong Karang itu.
Mengulas tentang isu itu yang dilihat semakin rumit, Noh berkata: “Siapa kata rumit, saya tengok isu itu biasa saja. Apa yang kita buat adalah mahu bela nasib rakyat, tidak ada maksud lain. Sebab itu saya bagi jaminan, projek ini tetap diteruskan walau apa pun yang berlaku.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan