BERITA HARIAN ONLINE
PUTRAJAYA: Pemuda pakatan pembangkang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat rakaman video mengandungi lapan pendedahan mengejutkan yang dibuat penyiasat persendirian, P Balasubramaniam kepada tiga peguam berkaitan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata antara pendedahan memeranjatkan dalam rakaman video berkenaan termasuk bagaimana Balasubramaniam ditawarkan wang RM5 juta untuk menarik balik akuan bersumpahnya bertarikh 1 Julai 2008.
Shamsul berkata, rakaman itu juga mendedahkan individu terbabit mengancam keselamatan keluarga Balasubramaniam sekiranya beliau enggan mematuhi arahan mereka.
Katanya, rakaman berkenaan juga mendedahkan mengenai pembabitan seorang pegawai polis yang membawa Balasubramaniam untuk bertemu individu itu bagi membincangkan tawaran terbabit di sebuah restoran di Rawang.
Beliau berkata, rakaman itu juga mendedahkan bagaimana Balasubramaniam dipaksa menandatangani akuan bersumpah kedua yang boleh diragui kandungannya dan pembabitan perisik tentera untuk mengawasi rumahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan