UTUSAN ONLINE
KUANTAN - Sikap tidak peduli orang ramai terhadap barangan terpakai menyebabkan kempen kitar semula botol kaca yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) gagal mencapai matlamatnya.
Buktinya, kempen setahun yang dilancarkan pada September tahun lalu hanya berjaya mengumpulkan 27,000 kilogram botol kaca untuk dikitar semula dalam tempoh lima bulan, berbanding sasaran awal kira-kira 20,000 kilogram sebulan.
Sikap tidak prihatin itu jugalah dikatakan punca banyak kilang kitar semula di negara ini 'tutup kedai' kerana gagal memperoleh bekalan botol kaca terpakai untuk dikitar semula.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Penasihat Teknikal Solid Waste Management Component (SWMC) bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ib Larsen yang memberitahu, penghasilan kaca kitar semula di negara ini jauh lebih rendah iaitu sekitar 30 peratus berbanding negara Eropah yang mencapai 80 peratus.
"Sedangkan, kita perlu mengitar semula barangan kaca seperti botol yang kebiasaannya dibuang begitu sahaja bagi menyelamatkan alam sekitar yang kini berdepan masalah pemanasan global," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan cek sumbangan Danish International Development Asistance (Danida) berjumlah RM120,000 kepada Yang Dipertua MPK, Datuk Azizan Ahmad bagi membiayai kempen itu.
Sepanjang kempen tersebut yang berakhir Ogos lalu, MPK telah melancarkan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran orang ramai termasuk di kalangan pelajar mengenai kepentingan kitar semula membabitkan barangan kaca khususnya botol.
Menurut Larsen, proses kitar semula kaca tidak mudah kerana faktor logistik dan kebiasaannya botol-botol yang dikumpulkan akan dihancurkan menjadi serbuk sebelum dibawa ke kilang untuk dikitar semula.
Proses tersebut katanya, dapat menjimatkan kos pengangkutan dan ruangan bagi menyimpan botol-botol tersebut.
Sementara itu, Azizan berkata, program kitar semula tersebut akan diteruskan bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan kitar semula untuk menyelamatkan alam sekitar.
"Kita akan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengubah tabiat dan tanggapan masyarakat mengenai kitar semula," katanya.
Beliau turut meminta badan-badan bukan kerajaan (NGO) tempatan berperanan lebih aktif bagi membantu MPK menjayakan kempen tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan