BERITA HARIAN ONLINE
BENTONG: Pihak pengurusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berhampiran Plaza Tol Bentong dekat sini, diarahkan mengosongkan kawasan terbabit selepas satu runtuhan tanah berlaku kira-kira 400 meter dari sebuah pangsapuri yang menempatkan kuarters guru maktab berkenaan, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, tebing bukit yang dilapisi batu konkrit sebagai penahan tanah dipercayai runtuh berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Noor, berkata polis menerima laporan berkaitan runtuhan di kawasan MRSM itu kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
"Sebaik sampai ke tempat kejadian, satu runtuhan dikesan kira-kira 400 meter dari pangsapuri empat tingkat yang menempatkan kuarters guru.
"Namun kejadian berkenaan tidak membabitkan kehilangan nyawa kerana kebetulan musim cuti sekolah dan kebanyakan pelajar serta guru pulang ke kampung untuk bercuti," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
"Ada kesan retak dilihat pada batu konkrit selebihnya yang menyokong tanah di bahagian bukit berkenaan dan berdasarkan keadaan cuaca yang tidak menentu, pihak kami bimbang akan berlaku runtuhan susulan.
"Justeru, kami sudah meminta pihak MRSM mengosongkan kawasan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terus berlaku.
"Malah Jabatan Kerja Raya juga sudah dimaklumkan mengenai runtuhan ini dan meminta pemantauan lanjut dilakukan bagi mengelakkan runtuhan menjadi lebih buruk," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan