BERNAMA
KUALA LUMPUR - Sistem pengundian awal yang membolehkan pengundi berdaftar mengundi lebih awal dan dua hari sebagai tempoh bertenang mungkin diperkenalkan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya sedang mengkaji kedua-dua sistem itu yang kini dilaksanakan di beberapa negara, termasuk Thailand dan Indonesia.
Menurut beliau, fokus utama SPR adalah untuk menggantikan konsep undi pos, sambil menambah kata apa yang telah dilaksanakan selama ini melalui undi pos sebenarnya adalah pengundian awal.
“Hakikatnya, pada hari pilihan raya diadakan, tidak semua pengundi berdaftar yang dapat membuang undi kerana terikat dengan komitmen lain seperti telah dijadualkan bertugas pada hari tersebut dan sebagainya,” katanya.
Wan Ahmad berkata, beliau dan beberapa pegawai SPR telah melawat Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand akhir tahun lepas bagi mempelajari dan mengkaji proses pengundian awal serta undang-undang dan peraturan yang berkaitan.
Beliau berkata, SPR akan mengemukakan cadangan mengenai sistem itu kepada kerajaan selepas dipersetujui di peringkat suruhanjaya.
Selain menukar nama pengundian pos kepada pengundian awal, katanya SPR juga kini serius memikirkan kaedah untuk melaksanakannya.
“Kita juga akan cuba mengesyorkan kemasukan kategori lain bagi mereka yang layak melakukan pengundian awal seperti golongan wartawan, doktor, jururawat, juruterbang dan pramugari,” katanya.
Pada masa ini, mereka yang layak mengundi secara pos ialah anggota polis dan pasangan, anggota tentera dan pasangan, pelajar dan pegawai kerajaan yang berada di luar negara.
Wan Ahmad berkata, SPR sedang mengkaji cadangan untuk menetapkan dua hari sebagai tempoh bertenang tanpa sebarang kempen pada sesuatu pilihan raya.
“Di Malaysia, tiada siapa hormat atau yang mahu mengikut peraturan cooling off period (tempoh bertenang) yang ditetapkan SPR. Walaupun dilarang, pada hari mengundi, masih ada lagi yang mengambil kesempatan untuk meraih serta merayu undi, mengibarkan bendera dan berkonvoi,” katanya.
Wan Ahmad berkata, perbuatan melanggar arahan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ditanya mengapa SPR tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan berkenaan, beliau berkata, berdasarkan senario politik negara ketika ini, keadaan akan menjadi bertambah huru-hara pada hari pengundian.
Sehubungan itu, beliau berharap tempoh bertenang boleh dilaksanakan pada pilihan raya akan datang bagi memudahkan SPR dan Pihak Berkuasa Tempatan membersihkan kawasan mengundi daripada poster dan bendera yang dipasang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan