HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Januari 2010

Mat rempit diberi peluang: ABX Express

SINAR HARIAN ONLINE


Kelembapan ekonomi yang melanda dunia menyaksikan peningkatan jumlah mel dan peralihan kepada perkhidmatan kurier.

Ini berikutan orang ramai mengurangkan perbelanjaan dan mendapati perkhidmatan itu memberi penjimatan dan penghantaran lebih cekap.

Namun, tanda pemulihan kini sudah wujud dan diyakini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terus berkembang.

Timbul tanda tanya, adakah pemulihan kelak bakal menjejaskan corak pertumbuhan syarikat kurier di negara ini?

Keadaan itu sebenarnya turut bimbangi persaingan syarikat kurier asing yang mempunyai jaringan antarabangsa begitu kukuh.

Bagi syarikat kurier tempatan milik Bumiputera, ABX Express (M) Sdn Bhd menyifatkan perniagaan itu mampu bertahan dan ‘kalis’ gawat.

Pengurus Negaranya, Mohamed Ali Noordin berkata, namun ia bukan mudah seperti yang disangka kerana kurier bukan sekadar penghantaran.

“Cabaran kami adalah menguruskan tenaga kerja terutama penghantar kurier, sebahagiannya tidak mempunyai latar belakang pendidikan.

“Antara 75 hingga 80 peratus hanya mempunyai akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, peranan penghantar kurier sebenarnya amat penting kepada syarikat yang bertugas di barisan hadapan dengan tanggungjawab besar.

Menurutnya, ABX Express terbabit dalam industri perkhidmatan menyebabkan operasi perlu lancar dan penghantar kurier akan memastikan kelancaran itu.

“Selain latihan dan kemahiran, syarikat menggunakan pendekatan Sistem Upah yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS).

“Sistem ini menggalakkan pekerja lebih produktif dan berusaha lebih gigih bagi menerima ganjaran setimpal usaha mereka,” katanya.

PLWS memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja berdasarkan kerjasama bagi meningkatkan prestasi.

Secara keseluruhan, ABX Express mempunyai kira-kira 1,200 kakitangan dan daripada jumlah itu, 800 kakitangan di bahagian operasi termasuk kurier.

Walaupun Malaysia berkembang maju dan semakin ramai rakyat mendapat pendidikan tinggi, namun golongan kurang berpendidikan turut berkepentingan.

“Siapa hendak keluar masa hujan lebat atau panas untuk menghantar kurier kerana mereka yang berpendidikan sudah tentu mahu kerja lebih mudah.

“Bila jalan tutup atau kesesakan lalu lintas menyukarkan mereka untuk bergerak, apatah lagi dalam keadaan cuaca tidak menentu, ada yang sanggup?” katanya.

Kebanyakan penghantar kurier menggunakan motosikal sebagai medium penghantaran, kira-kira 80 peratus, manakala penggunaan van hanya membabitkan penghantaran bungkusan.

Setakat ini, ABX Express hanya menguasai kira-kira 3 peratus dalam pasaran kurier di negara ini.

Mengenai persaingan, sebahagian pasaran dikuasai syarikat kurier asing berikutan jaringan antarabangsanya lebih baik.

Sebagai salah satu kurier tempatan, pasaran domestik adalah kekuatan ABX Express kerana 85 peratus daripada perolehan disumbangkan pasaran itu.

ABX Express menjalinkan pakatan strategik bersama Global Distribution Alliance (GDA), konsortium penghantaran segera terkemuka.

Menerusi GDA, ia menghubungkan lebih 200 negara dan merupakan syarikat kurier tempatan yang mempunyai jaringan antarabangsa sendiri.

Ali berkata, bukan mudah meneroka pasaran antarabangsa kerana kurier asing sudah pun kukuh dan mereka juga yang memulakan perniagaan ini.

“Bagaimanapun, kami berusaha untuk terus menembusi dan mengembangkan penguasaan pasaran tersebut pada masa akan datang.

“Pada asasnya, strategi adalah meningkatkan taraf perkhidmatan kerana saya percaya budaya perkhidmatan menjadi jentera pemasaran sebenar,” katanya.

Timbul suara-suara negatif segelintir masyarakat beranggapan kebanyakan penghantar kurier dalam kalangan mat rempit.

Stigma itu hanya kerana mereka menggunakan motosikal bergerak pantas untuk penghantaran demi penghantaran cekap dan tepat pada masa.

Mengulas lanjut, Ali berkata, sebagai syarikat perkhidmatan kurier, ABX Express menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan mat rempit.

“Daripada mereka menjadi liar yang dianggap segelintir pihak, kami membantu mereka beralih kepada aliran utama dalam masyarakat.

“Hanya kerana menggunakan motor, mereka diberikan status mat rempit sehingga wujud pelbagai tohmahan, malah dipersalahkan,” katanya.

Menurutnya, dengan memberi peluang pekerjaan bersistem kepada golongan itu, ia dapat ‘mengangkat’ mereka ke satu peringkat lebih tinggi.

“Kerja kurier bukan main ambil atau pergi suka hati sahaja kerana pekerja akan diberi latihan terlebih dahulu sebagai persediaan menjalankan tugas.

“Semua ada sistem kerana hendak buat penghantaran juga ada cara, begitu juga susunannya, masing-masing memerlukan kaedah dan disiplin,” katanya.

Mereka juga menggunakan komputer dan pengimbas, sekali gus membina kemahiran teknikal dan teknologi maklumat (IT).

Mengenai pengimbas, Ali berkata, ia bertujuan memudahkan urusan penghantaran dan menjadikan perkhidmatan lebih cekap.

ABX Express memperuntukkan RM3 juta bagi menyediakan kemudahan itu dengan kos RM6,000 setiap satu dan kini sudah membelanjakan RM2 juta.

Fungsi pengimbas membolehkan pelanggan dan operasi mengetahui waktu penghantaran dan penyerahan, sekali gus meningkatkan kecekapan 20 peratus.

Tiada ulasan: