HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2010

Pakatan Rakyat 'Berdarah': Kit Siang

Oleh NG CHENG YEE


PETALING JAYA: Jawatankuasa Disiplin Pakatan Rakyat harus bermesyuarat untuk mengembalikan keyakinan awam terhadap disiplin, komitmen, kepaduan dan perpaduan pakatan yang 'longgar' itu, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, isu mewujudkan jawatankuasa disiplin Pakatan telah menjadi sebahagian agenda majlis kepemimpinan sejak tahun lalu.

'Pendarahan dalaman' tersebut katanya, perlu berhenti terutama ketika Umno dan Barisan Nasional memperhebat serangan politik masing-masing.

"Ini bakal menjadi cabaran kepada majlis kepemimpinan Pakatan apabila ia bermesyuarat esok," katanya dalam blognya semalam.

Penulisan terbaru beliau dalam blog itu berkenaan dakwaan bekas Ketua PKR Negeri, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.

Zahrain yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru mendakwa, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seorang yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya.

Lim berkata, Pakatan memenangi pembaharuan keyakinan serta kepercayaan awam berikutan kejayaan mengadakan konvensyen kebangsaan di Shah Alam pada 19 Disember tahun lalu.

"Ia juga menunjukkan tanggungjawab dan kematangan yang lebih baik berbanding Umno serta Barisan Nasional dalam soal menangani kontroversi penggunaan kalimah Allah.

"Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa hari sahaja, kemenangan yang susah dicapai oleh Pakatan ini hampir dimusnahkan bukan oleh tindakan lawan politik tetapi tindak-tanduk sesetengah pemimpin Pakatan," katanya.

Ekoran itu, Lim berkata, rakyat sekali lagi mempersoalkan sama ada Pakatan boleh dipertanggungjawabkan untuk memegang tampuk kuasa persekutuan pada pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: