HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Januari 2010

Mahfuz cadang ‘Kementerian Pembangunan Bumiputera’ untuk ketepikan Umno

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Motif kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyeru pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera supaya suarakan rasa tidak setuju dengan keputusan Perdana Menteri bubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dipersoalkan.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, seruan Muhyiddin itu seolah-olah menggambarkan kempen ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ seperti gagal dihayati oleh Muhyiddin.

“Saya lihat seperti ada yang tidak kena antara Najib (dan) Muhyiddin, sama ada Najib dalam dilemma (iaitu) untuk terus jaga kepentingan kroni Umno melalui MeCD ini atau perlu buktikan kepada bangsa-bangsa yang lain tentang kempen ‘1Malaysia’ yang beliau nak bawa.

“Kenyataan Muhyiddin itu bagi saya seolah-olah beliau tidak menghayati konsep ‘1Malaysia’ atau tidak faham dilema yang Najib alami sekarang,” kata Mahfuz.

Menganggap MeCD adalah proksi strategik untuk mengkayakan segelintir pihak atas sensitiviti Melayu, beliau mencadangkan sesuatu kementerian yang lebih komprehensif bagi menggantikan MeCD demi mengukuhkan keyakinan rakyat majoriti, iaitu Bumiputera bahawa Pakatan Rakyat bersedia menggantikan Umno dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) kelak.

“Bumiputera dan Melayu masih dilihat menyokong Umno disebabkan ada kementerian sebegini (MeCD) walaupun dilihat gagal memperkukuh ekonomi Bumiputera.

“Kalau kita nak menggantikan Umno, maka tidak salah kita menawarkan sesuatu yang lebih baik (dari MeCD) demi meyakinkan kaum Bumiputera kerana mereka juga (adalah) rakyat yang harus dipedulikan," katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz mencadangkan, Pakatan Rakyat menawarkan Kementerian Pembangunan Bumiputera (KPB) bagi memperkasa ekonomi Bumiputera.

“Langkah pertama, Mara (Majlis Amanah Rakyat), PNB (Permodalan Nasional berhad) dan Tabung Haji (TH) perlu diletakkan di bawah KPB kerana penubuhan institusi tersebut hasil semangat (dari) Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Kaedah Pengurusan dan Pengawasan

Menurut beliau, suatu mekanisme pengawasan diperlukan untuk memastikan pengurusan ala Umno tidak berlaku dalam ketiga-tiga pentadbiran Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) tersebut.

“Kalau calon Pengerusi (CEO) dan Ahli Lembaga Pengarah GLC tersebut dicadangkan oleh Perdana Menteri atau badan Eksekutif, tetapi perlu saringan temuduga oleh Jawatankuasa Pemilihan di bawah Parlimen dan kemudiannya diperkenan (lalu) dilantik oleh (DYMM) Yang Dipertuan Agong; adakah akan wujud kronisme dalam kepemimpinan tertinggi GLC ini,” soal Mahfuz.

Jelasnya lagi, perlantikan secara eksklusif yang melibatkan satu-satu pihak sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan Umno dilihat (rakyat) seolah-olah menjadikan GLC sebagai ‘telaga duit’ untuk kroni-kroni tertentu sahaja.

Kesan berantai pada pengurusan tidak cekap tersebut, menurut Mahfuz mengakibatkan wawasan negara untuk meningkatkan produktiviti rakyat melalui pengurusan yang komprehensif gagal dicapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan lebih tiga dekad yang lalu.

Sehubungan itu, kepemimpinan yang ‘anti-kronisme’ tersebut perlu terus memberdayakan ‘serampang dua mata’ MARA; iaitu (1)Memberdayakan pendidikan Bumiputera; dan (2)Merapatkan jurang sosial antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Menurut Mahfuz, MRSM perlu diperbanyakkan untuk memberi peluang yang sama untuk Bumiputera mengubah taraf hidup mereka melalui pendidikan.

“Kalau kita ada 222 Parlimen di Malaysia, apa salahnya diperbanyak lagi MRSM khususnya di kawasan perdalaman (termasuk) di Sabah (dan) Sarawak supaya Bumiputera (seperti) Kadazan (dan) Dayak juga boleh menikmati peluang pengajian yang lebih baik (untuk) mengubah hidup masing-masing,” jelas Mahfuz.

Tambahnya, Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Politeknik Mara juga perlu diperbanyak supaya tenaga mahir dan separa mahir dari kalangan Bumiputera turut boleh dipertingkatkan.

Ditanya tentang kaedah menjana pendapatan Mara untuk menampung kos-kos pelaburan ‘modal insan’ tersebut, Mahfuz mencadangkan suatu tranformasi dilakukan pada pada sistem pemilikan ekuiti Bumiputera.

“Dalam DEB, pemegangan 30 peratus saham di setiap syarikat yang disenaraikan (dalam) Bursa Saham Malaysia (BSM) mesti dimilik oleh Bumiputera (iaitu) kroni-kroni tertentu sahaja diberikan peluang menguasai ekuiti tersebut.

“Mengapa tidak 30 peratus ekuiti Bumiputera tersebut diserahkan (secara) langsung kepada MARA untuk tujuan pendidikan...itu lebih telus dan menutup peluang (mereka yang terbabit mengamalkan) kronisme,” ujarnya.

Menurut Mahfuz, pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera secara persendirian itu merugikan Bumiputera secara kesuluruhannya.

“(Pada tahun) 1984 hingga 2001, kerajaan telah memberikan RM52 bilion (berupa) saham kepada Bumiputera, tetapi sekarang ekuiti tersebut hanya tinggal lebih kurang RM2 bilion sahaja,” jelasnya.

“Kalau Mara diberikan (secara) langsung 30 peratus ekuiti tersebut (dari) Bursa Saham Malaysia, tidak cukup lagikah untuk menampung kos pendidikan dan biasiswa...pemilikan tersebut tidak lari ke mana-mana.”

Jelas Mahfuz, punca berlakunya pengucupan ekuiti tersebut dipercayai umum disebabkan oleh sikap kroni-kroni terbabit sendiri apabila mereka sanggup menjual saham persendirian masing-masing kepada pihak yang ketiga untuk menjadi ‘Jutawan Segera’.

Perkasakan Tabung Haji menjadi Baitul Mal Nasional Sdn. Bhd.

Berhubung cadangan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah Kementerian Pembangunan Bumiputera (KPB) pula, Mahfuz mencadangkan badan tersebut diberdayakan menjadi Baitul Mal Nasional Sdn. Bhd. untuk menguruskan hartanah umat Islam di Malaysia.

“Tabung Haji tidak boleh lagi terus menjadi syarikat pengurusan Haji semata-mata sejak tiga dekad lalu lagi. Tabung Haji perlu diperkasakan (menjadi) Baitul Mal Sendirian (Berhad) untuk urus hartanah umat Islam,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan TH memanfaatkan sektor perlancongan yang sedia ada dengan membina rakan kongsi strategik dari kalangan agensi-agensi pelancongan Bumiputera.

Melalui fungsi baru TH, sedikit banyaknya mampu melaksanakan aktiviti kebajikan dalam kalangan rakyat, khususnya umat Islam.

Rombak Permodalan Nasional berhad (PNB)


Melalui Kementerian Pembangunan Bumiputera, PNB pula dicadangkan untuk memberdaya bidang keusahawanan masyarakat Bumiputera.

“Kalau MARA menumpukan soal pemerkasaan ‘modal insan’ melalui bidang pendidikan, PNB perlu memperkasakan tahap hidup bumiputera secara keusahawanan,” jelasnya.

“(Fungsi) Tekun perlu dinilai semula, sekiranya PNB sudah cukup untuk menguruskan pinjaman kepada usahawan bumiputera secara adil.”

Menurut Mahfuz lagi, PNB seharusnya sebagai penjaga amanah (Custodian) kepada segala perbendaharaan, seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang menjadi milik bersama Bumiputera.

Peranan ‘Pemegang Amanah’ ini sekaligus mampu meningkatkan saham Bumiputera dalam Bursa Saham Malaysia kelak kerana tidak ada campurtangan kaum pemodal dalam pemilikan saham-saham tersebut secara persendirian.

Yakinkan rakyat dengan model pengurusan

Bagi Mahfuz, rakyat perlu diperkenalkan dengan model pengurusan yang lebih baik, supaya mereka lebih yakin bahawa PAS serta Pakatan Rakyat layak mengantikan Umno dan BN dalam PRU13 kelak.

“Kementerian (Pembangunan Bumiputera) ini adalah suatu cadangan, seluruh pemimpin Pakatan Rakyat dan PAS sendiri boleh berbincang dan menolak sekiranya tidak sesuai.”

“PAS dan Pakatan Rakyat seharusnya mengemukakan suatu model pengurusan yang lebih baik, ‘anti-kronisme’, tolak nepotisme dan berintegriti, supaya rakyat boleh yakin dengan kemampuan kita untuk menjadikan Malaysia (sebagai) sebuah kerajaan (yang) kebajikan berbanding Umno (dan) BN,” jelasnya.

Tiada ulasan: