HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2010

Dua hotel di Melaka antara terkotor di Asia

SINAR HARIAN ONLINE


AYER KEROH - “Memalukan!” Itulah reaksi Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee ketika merujuk kepada laporan laman web antarabangsa yang menyenaraikan dua hotel terkemuka Melaka sebagai hotel terkotor di Asia.

Salah sebuah hotel tersenarai di tempat keempat, manakala sebuah lagi di kedudukan kesembilan, berdasarkan maklum balas diperoleh laman web daripada mereka yang pernah menghuni hotel berkenaan.

Kim Tee berkata, penyenaraian ini amat memalukan Melaka dan ia adalah tamparan terhadap usaha Kerajaan Negeri mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama.

Menurutnya, walaupun pihak Kerajaan Negeri, terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, banyak berusaha menaikkan nama Melaka dalam sektor pelancongan, tindakan sesetengah hotel mengabaikan faktor kebersihan boleh menjejaskan usaha kerajaan menaikkan imejnya.

“Penyenaraian dua hotel ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan nama Melaka sebagai destinasi pelancongan dan pada masa sama menjejaskan usaha serius kerajaan untuk menjadikannya sebuah bandar raya warisan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Daripada hasil kaji selidik dijalankan laman web berkenaan, 77 peratus mereka yang pernah menginap di hotel di kedudukan keempat itu mengatakan mereka tidak akan mengesyorkan sesiapa menginap di hotel berkenaan, manakala bagi hotel di tempat kesembilan, 61 peratus memberi komen yang serupa.

Antara komen ditinggalkan pengunjung di laman web berkenaan mendakwa cadar yang dibekalkan dalam bilik-bilik kotor dan buruk, bilik penuh dengan nyamuk, keadaan bilik mandi tidak bersih dan sebagainya.

Sehubungan itu, Kim Tee menggesa pihak berwajib menjalankan pemeriksaan segera ke atas kedua hotel berkenaan.

Menurutnya, jika perlu, kedua hotel berkenaan disita untuk tempoh yang sesuai bagi menunjukkan kepada mereka betapa kebersihan perlu diberi keutamaan.

“Dan sekiranya perlu, bukan sahaja dua hotel itu, tetapi hotel lain juga yang mengabaikan aspek kebersihan.

"Mungkin pihak berkuasa boleh membatalkan lesen mereka,” katanya.

Kim Tee juga menggesa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan berkala di semua hotel di negeri ini, terutama yang kecil.

Menurutnya, ini kerana beliau sudah beberapa kali menerima rungutan pengunjung mengenai keadaan hotel kecil yang tidak terurus, termasuk keadaan tandas yang teruk.

“Dalam keadaan ini, pihak hotel tidak seharusnya disalahkan sepenuhnya kerana orang ramai turut memainkan peranan menjaga kebersihan.

”Hanya kerana mereka membayar sewa tidak bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati, termasuk mengabaikan kebersihan,” katanya.

Tiada ulasan: