HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2010

Kami Mahu Waklit Rakyat,Bukan Wakil Pos!

Oleh LanH

MELIHAT betapa cepatnya generasi muda mengikuti dan seterusnya mengaplikasikan perkembangan teknologi maklumat semasa membuatkan penulis menjadi kagum dan cemburu; mereka terlalu 'advance' (ke depan) dalam pengendalian pelbagai gajet seperti telefon mudah alih dan komputer. Peralatan semakin canggih, demikian juga penerimaan anak-anak muda.

Bagaimanapun satu perkembangan kurang menyenangkan, kebanyakan golongan ini kurang berkemahiran dan berkesenian dalam bidang penulisan termasuk menulis surat. Ada yang mungkin tidak pernah menulis surat seumur hidup, lantas tidak pernah berurusan di pejabat pos, barangkali tiada pengalaman membeli dan melekatkan setem di envelop. Ertinya perkataan POS mungkin asing kepada mereka

Ketika masyarakat semakin jauh daripada Pos, amat mengejutkan sebuah organisasi kerajaan bernama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini bercadang memperluaskan hak pengundi pos kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting. Apabila perkataan POS semakin sirna, amat melucukan apabila SPR mahu memperluaskan pengundian cara ini. Baru-baru ini pula SPR berkata ia mahu memperkenalkan pengundian awal bagi menggantikan perkataan undi pos itu.

Secara logik akal, langkah SPR itu menongkah arus, masyarakat semakin ke depan dalam perkembangan teknologi tetapi organisasi itu berazam kembali ke zaman dulu, memperhebatkan undi pos sekalipun namanya ditukar kepada pengundian awal. Sesetengah pihak menganggapnya sebagai mengarut dan tidak masuk akal serta tindakan mengundur yang memalukan.

Mengenai perluasan undi pos, Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkata, doktor, jururawat dan wartawan mungkin dipertimbang untuk dibenarkan mengundi secara kaedah kuno itu pada pilihan raya umum akan datang. Perkara itu akan dibuat menerusi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang sedang diteliti oleh SPR.

Dalam mengulas perkembangan ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, langkah itu adalah ke belakang kerana sistem undi pos yang ada sudah banyak menimbulkan masalah dan mahu dibuang apatah lagi dengan tindakan mahu menambahkan golongan yang layak mengundi pos.

"Saya mengesyaki ada agenda tersirat dalam langkah ini jika benar SPR bercadang berbuat demikian," kata beliau.

Langkah SPR mahu memperhebatkan undi pos ternyata bertentangan apa yang disuarakan rakyat yang mahukan pengundian telus semasa pilihan raya termasuk yang dituntut oleh Bersih yang pernah menganjurkan demonstrasi kuning yang bersejarah pada lewat tahun 2008.

Mereka tidak menyakini undi pos yang dakwa mereka memudahkan berlaku ketidaktelusan malah penyelewengan dan manipulasi.

Memang betul, berdasarkan pendedahan bekas pegawai tinggi tentera, berlaku amalan kurang sihat dalam pengendalian undi pos ini. Pengakuan ini bukan dibuat seorang dua, malah sejumlah anggota tentera berpangkat tinggi.

Seorang bekas mejar dalam pertemuan dengan penulis baru-baru ini, mendedahkan bahawa beliau telah diberi kuasa untuk memangkah kertas undi anggota pasukan di bawahnya. Katanya dia terbabit dalam perkara itu sebanyak dua kali pilihan raya.

Katanya, pada pilihan raya berkenaan, beliau bersikap 'happy go lucky' untuk memangkah kira-kira 100 kertas undi setiap kali sedangkan pengundi sebenar berada dalam hutan, menjalankan operasi.

Beliau yang menyesal bertindak demikian,, berkata kini dia sudah bertaubat atas 'dosa' itu termasuk pergi Makkah, menunaikan haji. "Tangan inilah yang memangkah kertas undi itu, jadi saya bertaubat depan Kaabah minta Allah SWT ampunkan dosa saya yang berat itu," katanya.

Sebagai mendenda dirinya, katanya, dia sekarang banyak melakukan kerja-kerja kebajikan, semoga Allah SWT menerimanya bagi menebus doa yang dilakukan masa dia muda dulu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pula dipetik sebagai berkata, prinsip PAS jelas untuk memansuhkan undi pos di kalangan anggota polis dan tentera dan tidak akan bersetuju jika perkara itu mahu diperluaskan kepada pengundi selain mereka.

"Ini cadangan yang mengarut. Pada dasarnya PAS memang tidak bersetuju sebab kita berjuang selama ini untuk hapuskan undi pos di kalangan polis dan tentera, tiba-tiba SPR nak luaskan hak pengundi pos," katanya.

Seorang penyokong Pakatan Rakyat yang ditemui penulis merumuskan isu undi pos ini dengan berkata keras: “Kami mahukan wakil rakyat, bukan WAKIL POS!”

http://lanh14.blogspot.com

Tiada ulasan: