HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2010

Biarpun Digantung Matlamat Saya Tercapai - Khalid Samad

BERNAMA


SHAH ALAM: Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini berkata beliau tidak kecewa walaupun digantung jawatan sebagai Yang DiPertua PAS Shah Alam dan Ahli Lujnah Politik Pas Pusat selama enam bulan berkuatkuasa semalam kerana matlamatnya telah tercapai.

"Ramai yang tidak sedar, tetapi pada hakikatnya matlamat minimum saya telah pun tercapai," katanya di dalam laman blog beliau www.khalidsamad.com hari ini.

"Tindakan Datuk PJ (Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali)selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar SALAH dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejaskan pakatan pembangkang Selangor," kata Khalid.

Beliau berkata Dr Hasan tidak boleh lagi memberikan gambaran bahawa tindakan beliau direstui oleh pemimpin tertinggi.

Semalam, Jawankuasa Disiplin PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapati kedua-duanya bersalah dan Dr Hasan turut dikenakan amaran bertulis.

Khalid mengakui walaupun jawatannya digantung tetapi itu tidak sepenting tindakan terhadap Dr Hasan yang telah diberi kata dua berhubung sikap dan tindakannya selama ini.

Beliau berkata hukuman gantung jawatan yang dikenakan ke atasnya disebabkan cara beliau menegur Dr Hasan yang dianggap memudaratkan PAS.

"Mungkin betul, mungkin tidak. Namun saya telah lama berusaha sebelum itu, secara dalaman, secara surat kepada pihak atasan tetapi semuanya tidak berhasil.

"Budaya wala' (taat kepada pemerintah) terlalu menebal. Menghampiri ketaatan membuta tuli," kata Khalid.

Khalid berkata akhirnya beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menghadapi perbalahan secara terbuka.

"Memang mengikut budaya Malaysia, apabila melawan 'tauke' kuli yang akan kena.

"Ikut macam mana pun pasti akan kena. Tetapi kali ini 'tauke' pun kena juga. Walaupun hanya sedikit tetapi pada saya sudah mencukupi," kata beliau.

Beliau berkata jika Dr Hasan terus dengan cara lamanya, beliau sendiri akan melaporkan perkara itu kepada Jawatan Kuasa Disiplin PAS.

Katanya beliau juga tidak merasa kecewa di atas penggantungannya itu memandangkan keputusan sudah dibuat tetapi belum memutuskan untuk membuat rayuan.

1 ulasan:

MANSOR JUNUS berkata...

Keputusan Jawatan Kuasa Disiplin ternyata pelik dan pening. Dari awal saya sudah ragu2 dengan mereka ini. Kalaulah TGNA tidak melenting tempuh hari, siapa pun tak peduli.

Takkanlah kepimpinan tertinggi PAS pun nak kena tegur baru nak buat kerja. Kalaulah sikap yang seumpama ini menjadi amalan, macam mana perintah negara. Yang jelas, pemimpin2 yang ada sekarang, disemua peringkat, kenalah lebih cerdik sikit. Kalaulah setakat ini saja kemampuan, maka jadilah macam Tetengganu. Pegang satu penggal, lepas itu bungkus.