HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2010

'Badan bebas siasat ahli politik'

Oleh Ridzuan Yop, Norfatimah Ahmad dan Nazura Ngah


KUALA LUMPUR: Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan rasuah perlu mewujudkan sebuah badan bebas untuk memantau dan menyiasat aduan membabitkan ahli politik termasuk yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Datuk Paul Low pula menganggap tindakan telus itu akan lebih meyakinkan orang ramai terhadap kerajaan, begitu juga dengan pemantauan terhadap proses tender terbuka untuk pelbagai projek kerajaan.

Beliau berkata, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada, badan yang tidak terikat dengan kerajaan dapat memberi kesan jangka panjang terhadap usaha untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Sementara itu, Low yang di petik Bernama memuji langkah Kerajaan Pusat kerana mengiktiraf persepsi yang semakin bertambah buruk berhubung kos rasuah kepada negara ini sehingga mencapai RM10 bilion setahun dan di atas pelancaran NKRA bagi membanteras rasuah.

Beliau berkata, berkata adalah sesuatu yang menggalakkan bahawa ukuran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang mencapai standard bebas antarabangsa bagi penanda aras, Petunjuk Persepsi Rasuah TI dan Barometer Rasuah Global, telah diterima pakai.

"Terdapat banyak cadangan yang menggalakkan, seperti menangani rasuah kecil di agensi penguatkuasaan dan rasuah besar di kalangan ahli politik dan pegawai kanan perkhidmatan awam, perlindungan kepada pemberi maklumat dan mengurangkan kebocoran dalam pemerolehan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau mencadangkan supaya langkah tambahan diambil termasuk mengukuhkan SPRM dan institusi lain yang melindungi integriti dan keadilan bagi memastikan mereka bertindak tanpa rasa takut atau berpihak.

Mengulas mengenai NKRA Jenayah, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan supaya taman atau kawasan perumahan mengambil inisiatif sendiri untuk mewujudkan 'Bandar Selamat' atau 'Kejiranan Selamat'.

Beliau berkata, Persatuan Penduduk (RA) juga wajar merangka NKRA Jenayah masing-masing bagi merapatkan hubungan dalam komuniti dengan pihak polis bagi menangani jenayah.

"Langkah ini sebagai rangka kongsi antara RA dan polis di taman atau kawasan perumahan, selain mewujudkan integrasi antara kaum sejajar gagasan 1Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tiada ulasan: