Oleh AZRAI MOHAMMAD
KUALA LUMPUR – Tabiat sebahagian pemandu bas ekspres yang suka memandu seperti ‘pelesit’ sehingga mencecah kelajuan 170 kilometer sejam (km/j) sedikit sebanyak telah menjejaskan industri pengangkutan awam.
Ibarat “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”, sesetengah pemandu bas ekspres merasakan mereka dihukum oleh masyarakat disebabkan kesalahan sebahagian pemandu yang tidak berdisiplin.
Begitu luahan rata-rata pemandu bas ekspres yang ditemui wartawan Unit Khas Utusan Malaysia ketika melakukan tinjauan di Hentian Duta di sini baru-baru ini.
Tinjauan itu susulan laporan penyiasatan muka depan Utusan Malaysia Isnin lalu bertajuk ‘Jerat maut’ mengenai pemandu-pemandu bas ekspres ‘pelesit’ iaitu memandu terlalu laju dan berbahaya.
Siasatan susulan Unit Khas Utusan Malaysia selepas penyiaran laporan khas itu sehari kemudian mendapati pemandu-pemandu ‘pelesit’ terbabit tidak gentar atau takut sebaliknya memandu lebih laju.
Dalam siasatan bersama-sama penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dua malam kemudian, menemui seorang pemandu bas yang memandu sepantas 170 km/j, seperti kelajuan dalam perlumbaan Formula One.
Pemandu bas ekspres, Johari Raman, 50, berkata, segelintir pemandu yang tidak berdisiplin ini telah merosakkan imej pemandu dan syarikat lain.
“Mereka menyebabkan penumpang takut menaiki bas ekspres. Apabila penumpang kurang maka ia menjejaskan pendapatan kami kerana elaun perjalanan yang kurang,” katanya yang mempunyai pengalaman 20 tahun memandu bas.
Jelasnya, bagi mengatasi masalah pemandu tidak berdisiplin, majikannya menghantar pemandu-pemandu berkursus bagi memahami teknik pemanduan selamat dan pengendalian bas.
Di samping itu, kata Johari, pemandu juga disediakan buku panduan pemanduan dan kad perjalanan bagi memastikan sentiasa peka dengan disiplin pada setiap perjalanan.
Seorang lagi pemandu, Baharom Abdul Rahman, 48, berkata, pengusaha sentiasa mengingatkan agar berhati-hati kerana sebarang kesilapan mengakibatkan nyawa melayang malah menutup ‘periuk nasi’ pemandu lain jika syarikat didenda.
“Pemandu harus sentiasa memikirkan tanggungjawab mereka kepada keluarga dan juga penumpang kerana ini adalah punca rezeki.
“Malah pemandu perlu sentiasa cergas supaya tidak leka, saya mengamalkan makan makanan ringan untuk menghilang mengantuk ketika memandu,” katanya yang memandu bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Ipoh.
Elias Ariffin, 35, pula berkata, orang ramai harus berterima kasih atas jasa yang dicurahkan oleh pemandu bas ekspres.
“Jangan ketika ada kemalangan sahaja kami dipersalahkan, tapi ketika ribuan penumpang yang sampai ke kampung halaman dengan selamat kami langsung tidak diendahkan.
“Bagi yang tidak pernah memandu bas, mereka boleh kata macam-macam, hakikatnya tugas kami amat besar tanggungjawabnya dan amat memenatkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan