HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2010

Serang rumah ibadat: AMK gesa PM panggil sidang tergempar Parlimen

Harakahdaily


SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa rakyat agar tidak mudah terjebak dengan provokasi berikutan beberapa serangan sejak 3 minggu lepas ke atas gereja, surau dan masjid serta mencadangkan sidang Parlimen diadakan segera.

"Kita mahu agar perkara ini disiasat oleh suruhanjaya bebas kalangan pakar antarabangsa kerana perkara ini agak rumit dan sukar dirungkaikan," kata Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut

Menurut Azli, AMK Selangor mengulangi kutukan keras terhadap serangan ke atas rumah-rumah ibadah sejak mutakhir ini yang dipercayai cubaan mewujudkan suasana tegang dan tidak tenteram di kalangan rakyat berbilang agama dan bangsa.

"Kita berharap agar perkara ini tidak berterusan dan suatu tindakan konkrit dan pantas perlu untuk memastikan keharmonian dan semangat kasih sayang antara berbilang bangsa dan agama di negara ini terjamin," katanya.

Sehubungan itu, katanya, AMK Selangor bersama-sama dan menyokong penuh kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pemimpin muda gerakan belia Asean dari perikatan parti-parti utama Malaysia dan Indonesia yang mengutuk sekeras-kerasnya serangan keatas masjid di Petaling Jaya semalam.

Dalam apa yang dipanggil ‘Konsensus Manila’, sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia, Golkar, Gerindra dan Partai Bulan Bintang berkata serangan ini adalah keganasan yang dilakukan oleh pihak yang mahu mencetuskan ketegangan agama.

AMK Selangor juga berharap tindakan proaktif Perdana Menteri khususnya untuk segera menyelesaikan perkara ini daripada berlanjutan dan berpanjangan.

"Kita mahu Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen untuk membahaskan isu tergempar ini kerana perkara ini cukup sensitif dan panas serta amat mendesak kerana melibatkan keselamatan dan keharmonian pelbagai bangsa di Malaysia," cadang beliau.

"Kita mahu hasil daripada sidang khas tergempar ini mampu membawa tindakan yang tepat dan pantas untuk menghentikan terus kejadian yang semakin menjadi-jadi ini," katanya.

Rakyat, katanya, menilai kepimpinan Perdana Menteri sama ada berupaya menyelesaikan isu panas ini atau sekadar membiarkan perkara ini berlanjutan yang menyebabkan imej dan nama negara kini semakin tercemar akibat kejadian serangan ke atas tempat ibadah ini.

Tiada ulasan: