HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2010

10 MP PKR akan sertai BN?

SABAH DAILY


Desas-desus sekumpulan tujuh hingga 10 ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyertai Barisan Nasional (BN) dipercayai ada kaitan dengan langkah parti itu mula menilai prestasi wakil rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Mereka didakwa kemungkinan bimbang tidak akan dipilih semula sebagai calon, sekali gus mencari saluran lain – menyertai parti lain.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh tidak menolak kemungkinan tersebut tetapi menekankan parti mengambil langkah penilaian untuk memperbaiki prestasi, bukannya menghukum mereka.

“Saya khuatir mereka membuat penilaian sendiri dan bimbang akan terkeluar daripada senarai calon lagi … tapi kita ambil langkah penilaian untuk mencapai tahap yang dikehendaki pengundi,” kata beliau.

“Apa yang kami (pucuk kepimpinan parti) hendak lakukan ialah membantu mereka untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Oleh kerana mereka mungkin merasakan mereka tidak akan terpilih lagi, mereka mula pertimbangkan opsyen-opsyen lain… ini kemungkinan satu daripadanya,” kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Fuziah memberitahu pendekatan menilai wakil-wakil rakyat dimulakan sejak sebulan yang lalu.

Penilaian ini menyentuh aspek prestasi wakil rakyat PKR di Parlimen, mendampingi pengundi dan keberkesanan pusat khidmat.

Semalam, Pengerusi PKR Pulau Pinang Mansor Othman mengakui tiga hingga empat ahli Parlimen parti itu menunjukkan ‘hasrat’ untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Antara ahli Parlimen yang disebut-sebut akan meninggalkan PKR ialah bekas ketua PKR Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.

Kini PKR ada empat anggota Parlimen di Pulau Pinang. Selain Zahrain tiga yang lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohd Yusmandi Yusoff (Balik Pulau).

Bagaimanapun Zahrain gagal dihubungi sejak kelmarin untuk mendapatkan pengesahan.

Mansor enggan menyatakan sama ada mereka kesemua dari Pulau Pinang ataupun termasuk ahli Parlimen PKR dari negeri-negeri yang lain.

Difahamkan angka itu mungkin mencecah tujuh hingga 10 orang, membabitkan negeri Selangor dan Kedah – yang boleh membantu BN kembali memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ketika ditanya adakah kemungkinan tujuh hingga lapan orang Ahli Parlimen berkenaan akan keluar PKR kerana penilaian prestasi, Fuziah berkata, “ya kemungkinan tetapi kami mahukan mereka memperbaiki prestasi mereka.”

Sambil merujuk kepada kes Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, Fuziah berkata, wakil rakyat berkenaan keluar PKR apabila Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim merujuk kes prestasinya kepada parti.

“Isu ini hampir sama… mereka melihat dari sudut mereka sahaja,” katanya.

Akhir tahun lalu Khalid mengusulkan kepada pucuk pimpinan PKR supaya Adun itu meletak jawatan.

Usul itu dibuat setelah Badrul gagal membela penduduk Pelabuhan Kelang, malah enggan membuka pusat khidmatnya. -MI

Tiada ulasan: