HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2010

YBK mohon bantuan kewangan

Oleh Azian Aziz


SHAH ALAM 28 Jan. - Esok adalah tarikh akhir bagi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) untuk melunaskan RM6 juta cukai tanah seluas 526 hektar milik yayasan itu di Serendah, Rawang dekat sini kepada kerajaan negeri Selangor.

Jika gagal, yayasan bebas dan berkecuali yang ditubuhkan pada 1990 untuk memerangi kemiskinan itu akan kehilangan aset bernilai RM540 juta.

Semua rayuan untuk mempertahankan tanah tersebut ditolak oleh kerajaan negeri Selangor tanpa sebarang tolak ansur hanya kerana permintaan agar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerajui YBK tidak mendapat persetujuan ahli lembaga pengarah yayasan itu.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, hakikat bakal kehilangan aset yang dihadiahkan oleh kerajaan negeri pada 1997 hasil kejayaan YBK menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) contoh dalam memerangi kemiskinan memang amat menyedihkan.

Menurutnya, YBK memang tidak mampu membayar cukai tersebut kerana peruntukan yang ada hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian untuk 300 anak yatim di bawah jagaan yayasan.

Lebih memeritkan, tambah beliau, apabila dua rayuan kepada kerajaan negeri iaitu membayar secara ansuran dan meminta kerajaan negeri mengambil tanah yang setara dengan nilai cukai belum dibayar, tidak dilayan.

''Apa lagi yang mampu kami lakukan apabila kerajaan negeri yang selama ini mendakwa menjaga kebajikan rakyat, bertindak tidak adil dan kejam kepada yayasan yang selama ini membela nasib anak yatim dan rakyat miskin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainal Abidin menjelaskan, tanah tersebut merupakan hak milik syarikat Permodalan YBK dan sudah mempunyai geran dan sejak diambil alih, cukai premium tanah telah dijelaskan.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kawasan itu belum dibangunkan, cukai hasil tahunan berjumlah RM6 juta tidak dapat dijelaskan kerana yayasan tidak mampu.

"Cukai ke atas tanah yang masih belum dibangunkan itu mahal kerana ia berstatus pembangunan bercampur.

"Projek pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itulah harapan kami untuk menjana pendapatan tetapi itu pun ditolak oleh kerajaan negeri," jelasnya.

Sehubungan itu, Zainal Abidin berharap ada pihak dapat membantu yayasan supaya tanah yang merupakan aset berharga itu tidak dirampas dan dipindah milik untuk tujuan lain.

Sebelum ini, kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid menyatakan pendirian keras tidak membenarkan pembinaan kampus itu di Serendah setelah syarat supaya yayasan itu melantik dirinya sebagai Pengerusi serta Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail sebagai ahli lembaga pengarah YBK ditolak oleh yayasan.

Akibat penolakan syarat tersebut, kerajaan negeri menggesa yayasan itu supaya segera membayar tunggakan cukai tanah sebanyak RM6 juta sehingga menyebabkan kelewatan pembangunan kampus UiTM di tapak tanah milik YBK di kawasan berkenaan.

Ekoran masalah itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa pembinaan kampus baru universiti itu dipindahkan ke Jasin, Melaka.

Tiada ulasan: