HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2010

YBK cabar MB Selangor


ZAINAL Abidin Sakom (empat, kiri) bersama penyokong berdoa sebelum membuat laporan polis terhadap Abdul Khalid Ibrahim atas dakwaan berniat jahat membuat laporan palsu, fitnah dan bermotifkan politik semata-mata terhadap Yayasan Basmi Kemiskinan, di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini dicabar supaya mengemukakan bukti bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah memberi sumbangan ratusan juta ringgit kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Cabaran itu dilontarkan Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom bagi membuktikan peranan kerajaan negeri menjayakan program membantu dan membela nasib golongan miskin di negeri ini.

Zainal menegaskan, kenyataan dikeluarkan sebelum ini oleh Abdul Khalid berhubung YBK ternyata satu pembohongan dengan niat jahat untuk menjejaskan imej YBK yang sudah lebih 20 tahun berkhidmat membantu masyarakat miskin dan memerlukan bantuan di Selangor.

“Kita hendak tengok kertas putihnya (bukti) yang menyatakan ratusan juta ringgit diserahkan kepada YBK. Saya cabar keluarkan kenyataan tersebut supaya rakyat nampak apa yang telah diperkatakan adalah bohong dengan tujuan hendak menganiaya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kecil seperti YBK.

“Kerajaan negeri yang ada sekarang tidak pernah bagi apa-apa kepada kita, hendak menyusahkan kita adalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum membuat laporan polis terhadap kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar berkaitan YBK sejak akhir-akhir ini yang dilihat telah menjejaskan imej YBK di mata masyarakat.

Turut hadir berhimpun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sekitar pukul 10.30 pagi ketika tiga laporan itu dibuat ialah kira-kira 200 anak yatim dari Tunas Kasih terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.

Selain itu, penghuni Desa Kasih, bekas anak-anak yatim, alumni Asrama Kasih serta sukarelawan kelolaan YBK yang semuanya berjumlah kira-kira 200 orang.

Zainal Abidin berkata, laporan polis itu dibuat bagi mempertahankan imejnya dan maruah YBK yang telah dicemari dengan tuduhan tidak berasas, berbaur fitnah serta berniat jahat menerusi lima tuduhan oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, selain mendakwa telah memberi ratusan juta ringgit kepada YBK, kerajaan negeri turut menyelar yayasan itu kononnya tidak mengurus sumber kewangan dengan baik dan tidak memberi manfaat kepada golongan miskin.

Katanya, Abdul Khalid menerusi Pejabat Menteri Besar mengeluarkan kenyataan yang dipetik oleh media, bahawa YBK tidak pernah mengeluarkan laporan audit walaupun laporan itu sebenarnya telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara setiap tahun serta boleh diteliti menerusi lawan web YBK.

Beliau menambah, program-program YBK juga didakwa berbaur politik dan tidak berlandaskan keperluan kemiskinan selain Lembaga Pengarah YBK enggan menerima Abdul Khalid sebagai pengerusi yayasan itu.

“Kita pandang serius terhadap segala tuduhan yang dilontarkan kepada YBK yang peranannya hanya sebagai sebuah NGO membantu mengatasi masalah kemiskinan di Selangor khususnya, di Malaysia amnya tanpa mengira latar belakang politik.

“Laporan polis ini memalukan saya dan saya mesti mempertahankannya,” tegas beliau.

Zainal Abidin berharap dengan laporan itu, polis akan melakukan siasatan terperinci dan mengenal pasti mereka yang berniat jahat dengan kenyataan-kenyataan tersebut.

Beliau berkata, YBK menerusi peguamnya akan mengikuti terlebih dahulu perkembangan siasatan polis sebelum sebarang keputusan diambil termasuk kemungkinan menyaman pihak-pihak terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Nor Azam Jamaluddin ketika hubungi hari ini mengesahkan telah menerima laporan yang dibuat oleh YBK itu.

Tiada ulasan: