HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2010

Polis siasat dari mana kepala babi diperolehi

BERNAMA



Polis akan bekerjasama dengan pakar forensik dan veterinar untuk membuat kajian termasuk menentukan spesies dan asal babi hutan yang kepalanya diletakkan di kawasan dua masjid di Petaling Jaya
dua hari lalu.

"Kita percaya ia sedikit sebanyak akan dapat membantu kita dalam menyiasat kes tersebut," kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Katanya polis sedang menyiasat kemungkinan ia diperoleh dari premis
yang menghidangkan makanan haiwan eksotik.

"Kita sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat dari penjual-penjual makanan hutan dan eksotik di sekitar Lembah Klang dan membuat pemeriksaan ke premis-premis tersebut," katanya.

Muhammad Sabtu berkata sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dilakukan memandangkan maklumat yang diperoleh berhubung kes itu tidak kukuh.

"Kita telah mengadakan mesyuarat bersama polis Selangor bagi berbincang mengenai tindakan dan rancangan pada masa hadapan dan apa yang pasti kita tidak akan berdiam diri sehingga penjenayah dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Pada kejadian selepas solat Subuh dua hari lepas, dua bungkusan mengandungi kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun manakala dua bungkus lagi serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke perkarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.

Muhammad Sabtu berkata tiada kekecohan dilaporkan berlaku di kawasan terbabit dan polis juga sentiasa membuat kawalan dan rondaan bagi memastikan keadaan tenteram.

"Saya minta jangan keruhkan lagi keadaan dan jangan dengar apa jua perkara negatif," katanya.


Tiada ulasan: