HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Januari 2010

Cadangan haram rokok di Pahang akan dikaji semula

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan mengkaji semula cadangan penguatkuasaan fatwa pengharaman rokok di negeri ini seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Yang Dipertua Muip, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, satu kajian secara mendalam akan dilaksanakan sebelum menggazetkannya sebagai fatwa yang sah iaitu merokok adalah haram di negeri ini.

"Sebelum menggazet atau mewartakan fatwa seperti ini, kita perlu memberi satu pengajaran kepada perokok iaitu mendedahkan baik buruk kerana terdapat pelbagai implikasi apabila kita mewartakan fatwa ini.

"Sememangnya kita tidak boleh lari daripada hukum iaitu kalau mufti berpendapat ia adalah haram maka kita perlu menerima hakikat tersebut," titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Insentif Sukan SEA Laos 2009 di Hotel MS Garden di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan pihak berkuasa agama Islam Pahang memutuskan pengharaman merokok berkuat kuasa 30 Disember lalu berikutan kesannya yang boleh memudaratkan kesihatan.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri pada akhir bulan lalu yang mengeluarkan fatwa pengharaman tabiat merokok di negeri ini.

Menurut Tengku Abdullah, cadangan tersebut perlu ditinjau terlebih dahulu sebelum boleh digazet dan dikuatkuasakan pengharaman merokok di negeri ini.

"Bagaimanapun, hakikatnya kita tidak ada persoalan tentang hukum yang menyatakan bahawa rokok itu adalah haram tetapi kita akan mencari kaedah sebaik mungkin untuk melaksanakannya apabila fatwa ini digazetkan.

"Pihak mufti keluarkan (fatwa) berdasarkan pandangan jawatankuasa berkenaan tetapi Muip mesti sahkan dan mengkaji daripada tindakan susulan serta kaedah-kaedah untuk melaksanakan fatwa ini," titah baginda.

Tambah baginda, Muip akan memperhalusi perkara ini sebelum mewartakannya.

Tiada ulasan: