Umno tersentak apabila dicabar oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar supaya membuktikan bahawa parti rasuah itu tidak menyalahgunakan wang kerajaan dalam menjayakan program Umno Juara Rakyat.
Umno Juara Rakyat adalah program yang akan diadakan di seluruh negara bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap mereka. Sekalipun BN menang besar dalam pilihanraya kecil di Bagan Pinang, tetapi sokongan keseluruhan rakyat di seluruh negara terhadap parti rasuah itu masih mencurigakan. Maka Umno Juara Rakyat diharapkan mereka menjadi program bagi memulihkan kecurigaan rakyat
Dalam pelancaran program Umno Juara Rakyat yang pertama kali diadakan di Selangor baru lalu, Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM15.6 juta untuk membaiki pangsapuri di kawasan Bukit Beruntung dan Bandar Baru Sentosa, Hulu Selangor. “Saya cuma mahu Umno buktikan peruntukan RM15.6 juta itu adalah dari tabung Umno. Jika benar Umno mempunyai jumlah peruntukan yang begitu besar dalam tabung mereka, ini bermakna Umno sangat hebat,” ujar Mahfuz sinis.Setiausaha Perhubungan Umno Kedah, Ir Nawawi Ahmad yang terperangkap dengan soalan Mahfuz hanya mampu mengajak PAS sertai program yang dirancang Umno itu bagi membuktikan kononnya tiada penyalahgunaan wang rakyat.
Semua tahu peruntukan RM15.6 juta itu bukan duit dari tabung Umno tetapi duit kerajaan Pusat. Setiap sen duit kerajaan Pusat juga bukan datangnya dari yuran keahlian Umno yang dikutip RM1 seorang. Duit kerajaan datangnya dari pungutan cukai yang dibuat terhadap seluruh rakyat jelata termasuk ahli serta penyokong Pakatan Rakyat.
Akibat terlalu lama diberi kuasa memerintah Pusat mereka sudah tidak dapat membezakan antara duit Umno dan duit kerajaan yang diambil dari poket rakyat melalui cukai.
Umno Juara Rakyat bukan program pertama parti rasuah itu mendekati rakyat. Dalam pilihanraya kecil, selalunya Puteri dan Pemuda Umno turun mengadakan bengkel kesihatan percuma. Tetapi logistik dan pegawai perubatan yang digunakan adalah dari hospital kerajaan. Mereka mengadakan gotong royong membaiki rumah, tetapi tenaga yang digunakan adalah terdiri dari anggota tentera. Umno ‘tumpang tui’ terhadap semua jabatan kerajaan.
Di peringkat negeri, Umno sewaktu berkuasa menggunakan sewenang-wenangnya duit kerajaan negeri untuk program parti. Di zaman BN, sebuah GLC menyumbangkan RM1.7 juta untuk Umno Kedah. Tidak hairan jika Umno mempunyai duit yang banyak menghambur sumbangan untuk rakyat dalam pilihanraya. Permodalan Kedah Berhad (PKB) adalah sebuah syarikat di bawah Perbadanan Menteri Besar.
Menjelang pilihanraya 2008 mereka telah membekalkan peralatan pilihanraya untuk peti-peti BN, tetapi berselindung di sebalik kerja-kerja sosial. Dana yang kononnya dikeluarkan untuk ‘kerja-kerja sosial’ bernilai lebih RM14 kepada dua buah syarikat dilakukan dengan kaedah yang tidak telus dan penuh tandatanya. Mengapa kelulusan dari lembaga pengarah terhadap syarikat pembekal tidak didapatkan terlebih dahulu? Mengapa tidak melalui proses tender? Mengapa bayaran melalui beberapa keping cek yang setiap satu berjumlah kurang dari RM10 ribu? Untuk maklumat pembayaran yang melebihi RM10 ribu mesti turut ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah.
PKB juga telah mengeluarkan wang sebanyak RM500,000 di antara tarikh pembubaran Parlimen dan hari mengundi pilihanraya umum ke 12, kononnya untuk sumbangan amal ke seluruh negeri Kedah. Bukankah terang lagi bersuluh bahawa wang itu digunakan untuk kepentingan politik Umno.
PKB diarahkan menjelaskan bayaran 50 batang pen bernilai lebih RM60 ribu yang dihadiahkan kepada wartawan sempena Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Media. Saya mencari rakan wartawan yang menerima hadiah pen bernilai lebih RM1000 sebatang itu, malangnya setakat ini masih belum menjumpainya.
PKB juga diminta menjelaskan tuntutan penginapan hotel Menteri Besar lalu dan kehadiran tetamu Menteri Besar dari Sabah. Inilah bahayanya BN terlalu lama di beri peluang memerintah. Mereka sudah tidak dapat membezakan antara wang parti dan wang kerajaan/rakyat.
Apa yang didedahkan di atas hanyalah ’tips of the ice berg’ penyelewengan yang berlaku di zaman BN. Banyak lagi yang besar-besar. Mujur saya bukan Syed Husin AlAttas untuk mendedahkan setiap butiran ’kong kalikong’ dalam kerajaan lalu.
Sebab itu rakyat jangan pelik jika Umno benar-benar mempunyai duit yang banyak untuk diagihkan kepada rakyat. Hari ini jika berlaku musibah seperti kebakaran dan sebagainya, ADUN Pakatan akan sampai dahulu, kemudian baru pemimpin BN. Bukan kerana BN tidak prihatin. Tetapi mereka nak tengok dulu berapa YB Pakatan sumbangkan untuk mangsa. Jika ADUN Pakatan hulur RM200, mereka akan datang hulur RM500. Kalau nak lawan BN dengan kebendaan, duit setinggi Gunung Jerai boleh rata. Duit mereka banyak tapi bukan duit parti.
Selepas kerajaan Pakatan tumbang di Perak tahun lalu, heboh kononnya Kedah akan menuruti Perak. Kononnya imbuhan berjuta-juta ditawarkan untuk setiap ADUN yang bersedia jadi pelacur politik. Sewaktu pilihanraya kecil Permatang Pauh 2008, beberapa ketua bahagian KeADILan dari Kedah isytihar lompat parti. Sebelum itu satu perjumpaan sulit diadakan di Danok. Broker politiknya ialah seorang pegawai penting KHTTP sekarang ini. Berapa jumlah yang ditaburkan dalam pertemuan itu dan berapa pula yang dijanjikan selepas itu tidak penting untuk didedahkan dalam ruangan ini, tetapi yang mahu diberitahu ialah Umno mempunyai sumber dana yang banyak untuk membeli sokongan. Dan ’dana’ Umno itu hakikatnya adalah dari duit rakyat yang diambil secara luar tabie. Program Umno Juara Rakyat akan turun ke setiap kawasan. PAS perlu menyusul program dengan membongkar segala penyelewengan Umno menyonglap duit rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan