SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mencabar Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mendedahkan maklumat diperolehnnya yang mengaitkan insiden serangan gereja baru-baru ini didalangi ahli pergerakan itu.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin menegaskan mana-mana pihak supaya tidak mengaitkan UMNO dengan serangan ke atas gereja kerana kes tersebut masih lagi dalam siasatan polis dan menyifatkan dakwaan Azmin sebenarnya bermotifkan politik.
Menurutnya, sekiranya benar dakwaan tersebut ahli UMNO berkenaan akan menghadapi tindakan disiplin oleh parti dan pucuk pimpinan tidak akan berlembut dengan individu tersebut.
“Dakwaan seperti menunjukkan bahawa pembangkanglah yang mempolitikkan isu dan saya beri amaran kepada beliau bahawa isu ini melibatkan keselamatan negara.
“Kalau benar dakwaan oleh Azmin ini, tunjukkan bukti kepada kami kerana kami masih menunggu bukti tersebut sama ada sahih ataupun tidak,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di sini semalam.
Sebelum ini, Azmin Ali mendakwa terdapat ahli UMNO yang terlibat dalam kejadian serangan ke atas sebuah gereja di Desa Melawati awal bulan lalu dan pihaknya kini sedang mengumpulkan bukti untuk didedahkan kepada umum.
Khairy berkata, sekiranya terdapat ahli UMNO yang terlibat dalam isu itu, ia tidak menunjukkan bahawa UMNO yang melakukannya kerana bila- ngan ahli UMNO di negara ini terlalu ramai.
“Ini satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab seolah-olah UMNO terlibat oleh sebab ada dakwaan bahawa ahli UMNO yang terlibat.
“Saya menganggap ini merupakan sangkaan buruk dan satu usaha untuk mempolitikkan isu ini dengan mengatakan UMNO sebagai satu institusi terlibat dalam serangan ke atas rumah ibadat ini,” katanya.
Menurutnya, pendirian UMNO adalah jelas bahawa parti tersebut mengutuk dan mengecam sebarang serangan ke atas rumah ibadat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan