TV SELANGOR
Kerajaan negeri Selangor tidak gusar dengan tindakan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) membuat laporan polis kononnya Menteri Besar Selangor memburukkan kepimpinan badan itu.
Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom membuat laporan polis itu, jelas tidak mengambilkira keperluan YBK bertindak telus dalam urusannya.
Zainal, bekas ADUN UMNO untuk Batang Kali, membuat laporan di Ibupejabat Polis Shah Alam pagi tadi.
Beliau diiringi oleh beberapa pegawai YBK dan beberapa pihak lain yang membawa sepanduk mencaci Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Khalid menegur YBK kerana gagal bersifat terbuka dalam keperluan memberikan hak kerajaan negeri bersuara dalam urusan badan itu.
Hak itu penting kerana kerajaan negeri adalah antara penyumbang terbesar hartanah YBK.
Antara lain, YBK telah diberikan tanah 1'300 ekar di Serendah namun badan itu gagal memanafaatnya untuk faedah rakyat miskin di Selangor.
Selepas membuat laporan polis ini, Zainal mengakui YBK hanya memberikan butiran perbelanjaannya kepada awam menerusi laman webnya.
"Misalnya disebutkan masalah ketelusan dalam pentadbiran sedangkan yayasan sudah 20 tahun melaksanakan tugas ini dalam laman web ada kita bentangkan," ujar Zainal.
Nik Nazmi yang juga setiausaha politik kepada menteri besar berkata kerajaan negeri bertanggungjawab menekan YBK bersikap telus dalam urustadbirnya.
"Apa yang kita dedahkan dikerajaan Selangor setakat ini adalah fakta- fakta yang ada dengan kita, jadi samaada dia nak buat laporan polis ke apa ke itu hak dia. Kita kena dedahkan kebenaran. Sebab orang kena tahu tentang apa kebenaran disebalik YBK," ujar Nik Nazmi.
Nik Nazmi berkata kerajaan negeri akan melakukan apa yang perlu untuk memastikan YBK bertindak secara telus dalam pengurusan demi membela kepentingan rakyat miskin Selangor.
"Kita sekarang, yang kita nak ceritakan adalah pengurusan YBK, jadi kita fikir kerajaan negeri Selangor yang sudah banyak memberi tanah dan sebagainya, kita ada hak untuk mengetahui pengurusan YBK, jadi samaada dia hantar atau tidak itu perkara lain," ujarnya lagi.
Beliau berkata keperluan untuk menteri besar memimpin badan itu bukan atas kepentingan parti.
"Yang kita mintak dari awal YBK, untuk menteri besar ambil alih selaku menteri besar bermakna menteri besar itu dari parti mana pun, mereka tetap mendapat tempat, itu sahaja yang kita pinta," katanya lagi.
"Kita sudah dari awal kita, kata kita boleh bantu mereka sekiranya mreka dapat bekerjsama, mereka sudah bersetuju diperingkat awal jadi kita pun memang tidak ada masalah kita memang nak bantu, kalau kita tak nak bantu tidak ada usaha pun kita berbincang dengan YBK, kita bincang dari awal mereka setuju untuk menteri besar menjadi pengerusi kepada YBK pada peringkat awal tapi kemudian mereka tidak bersetuju,"katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan