Jimadie Shah Othman
Naib Presiden PKR, Azmin Ali hari ini mendakwa terdapat ahli Umno yang terlibat dalam kejadian serangan ke atas sebuah gereja di Desa Melawati awal bulan lalu.
"Saya akan mendedahkan dalam masa terdekat ini mereka yang terlibat dalam kes serangan terhadap gereja di Taman Melawati (Desa Melawati) adalah ahli dan anggota Pemuda Umno.
"Saya menggesa presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) mengambil tanggungjawab berhubung perkara ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpulkan bukti untuk didedahkan kepada umum, dijangka dalam masa terdekat ini.
"Saya akan kumpulkan nama, nombor kad pengenalan dan nombor keahlian Umno, baru saya akan sebarkan kepada rakyat," katanya yang juga ahli parlimen Gombak.
Diminta menjelaskan jangkaan pengumuman itu dapat dibuat, beliau berkata:
"Dalam masa terdekat. Saya tidak sukar (mendapatkan butiran tersebut) kerana berdasarkan nombor kad pengenalan, kita boleh dapat nombor keahlian Umno mereka."
Azmin memberitahu media perkara berkenaan selepas melawat Masjid Jumhuriyah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya ekoran insiden kepala babi diletakkan dalam perkarangan masjid berkenaan awal pagi ini.
Beliau melapangkan masa kira-kira satu jam bermula 2.30 petang.
Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa mendakwa, sekurang-kurangnya empat atau lima orang daripada mereka yang ditahan reman, adalah ahli Pemuda Umno, daripada bahagian Gombak dan Ampang.
"Sekurang-kurangnya empat atau lima orang. Malah mereka daripada cawangan mana pun saya tahu," dakwanya.
Selepas mengumpulkan maklumat terperinci, katanya, beliau akan mendedah nama pihak terbabit, nombor kad pengenalan dan nombor keahlian Umno kepada umum.
Pada 8 Januari lalu, Gereja Metro Tabernacle Bangunan tiga tingkat Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, diserang dengan bom api pada waktu tengah malam, mengakibatkan bahagian bangunan tiga tempat yang menempatkan gereja terbakar.
Ia merupakan antara 11 gereja yang menjadi sasaran serangan bom api dan vandalisme sepanjang tiga minggu di samping sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.
"Saya tidak mahu tuduh mana-mana pihak sebagai dalang dalam kes ini. Saya tidak mahu (membuat) spekulasi. Saya mahukan siasatan terperinci dan tegas.
"Saya sedang mengumpulkan maklumat terperinci dan saya minta presiden Umno jelaskan bagaimana mereka terlibat.
"Ini tindakan dayus Pemuda Umno. Berdasarkan maklumat awal yang saya terima, beberapa ahli Umno itu merupakan ahli Pemuda Umno bahagian Gombak dan Ampang," kata Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan