HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2010

Utara Sarawak terdedah gempa bumi

UTUSAN ONLINE


KUCHING - Beberapa kawasan di bahagian utara negeri ini didapati terdedah kepada risiko gempa bumi berukuran sederhana pada masa depan, kata Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof.

Beliau berkata, beberapa tempat di bahagian utara Sarawak iaitu Bintulu, Batu Niah, Suai, Miri, Limbang dan Lawas dikesan berada di garisan sesar utama gempa bumi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

Namun katanya, penduduk di kawasan terlibat diminta supaya tidak panik dan bimbang dengan situasi berkenaan kerana secara relatifnya, Sarawak masih stabil dari segi seismotektonik.

Katanya lagi, gegaran kecil berukuran 3.2 pada skala Richter yang dilaporkan berlaku di Batu Niah dan Suai Isnin lalu adalah tidak begitu membimbangkan.

''Bagaimanapun keadaan agak berisiko di Sarawak dan Sabah kerana kedua-duanya termasuk dalam kawasan berisiko gempa bumi sederhana.

''Di Sarawak, kekerapannya ialah sekali bagi setiap enam hingga tujuh tahun tetapi di Sabah khususnya di Kota Belud, berlaku sekali dalam setahun," katanya di sini semalam.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau tapak projek pembangunan Kerajaan Pusat di Kampung Wawasan Jaya, di sini.

Tiada ulasan: