Oleh Johari Ibrahim
SEPANG: Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membongkar kegiatan seorang bomoh nombor ekor yang melakukan upacara dengan menggunakan wanita, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kelanang, Kuala Langat, dekat sini, malam kelmarin.
Difahamkan, serbuan itu dilancarkan selepas Jais menerima maklumat awam mengenai kegiatan seorang lelaki yang memberi perkhidmatan menurun nombor ekor dengan upacara pelik, termasuk memerlukan pelanggan membawa seorang janda sebagai syarat upacara.
Serbuan itu membabitkan 22 anggota penguat kuasa Jais, masing-masing sembilan dan tujuh anggota polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.
Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, penguat kuasa Jais menahan bomoh terbabit, berusia dalam lingkungan 50-an yang ketika itu berada bersama seorang wanita lingkungan 40-an dalam sebuah bilik di rumah itu, dipercayai sedang menjalankan upacara.
Selain wanita dan bomoh itu, Jais turut menahan dua lelaki lain, masing-masing berusia 40-an dan 72 tahun serta dua wanita lingkungan umur 40-an kerana bersubahat. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jais di Shah Alam untuk diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan Jais manakala bomoh itu disiasat mengikut Seksyen 4, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 9/95 kerana melakukan pemujaan salah.
Shahrom berkata, lebih 10 lagi pelanggan yang menunggu giliran di luar rumah juga diambil butir peribadi dan diberikan notis supaya hadir di Ibu Pejabat Jais bagi membantu siasatan.
“Kebanyakan pelanggan beragama Islam mendakwa pergi ke situ untuk berubat manakala yang bukan Islam mengakui untuk mendapatkan nombor ekor,” katanya.
Shahrom berkata, Jais juga merampas pelbagai barang termasuk puluhan minyak atar, sejumlah sejadah, beberapa bilah keris dan pedang lama yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan