Usaha yayasan mohon tempoh kumpul RM5.7j ditolak kerajaan Selangor
Oleh Wan Jailani Razak
SHAH ALAM: Pertelagahan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan kerajaan Selangor berterusan apabila permohonan seminggu oleh yayasan itu mencari sumber bagi menjelaskan bayaran cukai tanah tertunggak berjumlah RM5.7 juta, ditolak Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, kelmarin.
Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata yayasan itu hanya mampu menyediakan RM180,000 untuk bayaran sebahagian cukai tertunggak dan memohon tempoh seminggu bagi membolehkannya mengusahakan bayaran baki, namun ditolak pada hari sama.
Berikutan itu, katanya, yayasan terpaksa akur dengan tindakan kerajaan negeri merampas kira-kira 312 hektar tanah di Serendah, Rawang, yang bernilai RM42 juta, selepas memilikinya selama 15 tahun.
"Di mana keadilan yang selalu dilaungkan Pakatan Rakyat? Kerajaan negeri sepatutnya boleh memberi pertimbangan dari segi masa tetapi permohonan kami ditolak mentah-mentah.
"Bukan mudah untuk kami mencari wang sebanyak itu (RM5.7 juta) kerana kami ada banyak tanggungan lain seperti memberi makan kepada anak-anak jagaan kami di asrama," katanya ketika dihubungi, semalam.
YBK memperoleh tanah itu selepas permohonannya diluluskan pada 1995 oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan pemilikan tanah itu atas nama anak syarikatnya, Permodalan YBK Sdn Bhd.
Zainal Abidin berkata, perkara yang menjadi titik hitam kepada pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sepatutnya tidak berlaku jika Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mentadbir negeri secara profesional.
Bagaimanapun, katanya, Abdul Khalid dilihat sudah hilang pertimbangan akal menyebabkan rakyat yang cuba dipimpinnya menderita.
"Orang yang memimpin tak terasa kerana mungkin baginya, `puas hati aku.' Dalam keadaan ini, dia rasa puas hati kerana dapat memberi tekanan kepada sebuah yayasan yang kegiatannya menjurus kepada usaha membasmi kemiskinan.
"Ketika saya menjadi Setiausaha Politik dulu, pegawai daerah diturunkan kuasa untuk membuat pertimbangan (dalam meluluskan sesuatu permohonan) tetapi sekarang, ia tidak berlaku," katanya sambil menambah ia menyerlahkan sikap tidak amanah pemimpin dalam membangunkan negeri.
Ditanya tindakan kerajaan negeri meneruskan usaha mengubah status semua maklumat berkaitan aset dan dana yang diberikan kepada YBK, Zainal Abidin bertegas mahu Abdul Khalid mengemukakan bukti bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya pernah memberi sumbangan ratusan juta ringgit kepada yayasan itu.
Kelmarin, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam kenyataan medianya berkata Pejabat Menteri Besar menerima banyak dokumen daripada pelbagai unit kerajaan mengenai semua aset dan dana yang diberikan kerajaan negeri kepada yayasan itu untuk membasmi kemiskinan.
Nik Nazmi berkata, semua maklumat itu akan didedahkan dalam satu laporan terperinci mengenai YBK yang akan dikeluarkan secepat mungkin.
Zainal Abidin dalam laporan polis yang dibuatnya kelmarin menegaskan kenyataan dikeluarkan sebelum ini oleh Abdul Khalid berhubung YBK adalah suatu pembohongan dengan niat jahat untuk menjejaskan imej YBK yang sudah lebih 20 tahun membantu masyarakat miskin di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan