HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Januari 2010

Undang-undang vs Kutu Sampah?

Oleh: SURIATI MAHMUD (sabahkini)

MAJLIS Daerah Lahad Datu (MDLD) disaran segera menguatkuasakan Undang-Undang Anti Kutu Sampah bagi membendung gejala pembuangan sampah secara berleluasa yang sudah menjadi trend terbaru warga Lahad Datu sehingga menggagalkan usaha Kerajaan menjadikan Lahad Datu bandar ‘Sifar Sampah’.

“Ini bukan tempat buang sampah, tapi lihatlah hakikat yang terpaksa kita terima,” ujar Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Silam, Chong Su Vun ketika membawa krew Sabahkini.net melawat Jalan Sekolah Menengah Sains off Jalan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu setelah menerima aduan awam.


Menurut Chong, sikap suka membuang sampah merata-rata menyebabkan kebanyakan kawasan terlalu kotor dan jika tidak dihentikan akan menyebabkan imej Lahad Datu akan terus tercemar.

“Kita sudah ada undang-undang, tetapi kenapa tidak dikuatkuasakan? Memang amat memalukan jika kita belanja banyak wang untuk pengswastaan sampah tetapi orang kita ambil jalan mudah buang sampah merata-rata,” ujar Chong seraya menggesa agar MDLD memasang papantanda ‘Dilarang Buang Sampah’ di kawasan sasaran dan mengenakan kompaun serta merta kepada mereka yang membuang sampah di kawasan yang bukan diwartakan sebagai Pusat Pembuangan Sampah.

Chong turut menggesa agar semua Ahli Majlis Daerah Lahad Datu menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggung jawab terutama melaporkan kegiatan yang menyalahi undang-undang seperti penjaja haram, pembuangan sampah sarap dan sarang jenayah kepada pihak berwajib.


Tiada ulasan: