HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2010

PKPIM Kritik Keganasan Polis Terhadap Mahasiswa

DETIK DAILY


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakan tidak demokratik pihak keselamatan yang dilakukan terhadap kelompok mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghadiri perhimpunan aman selepas solat jumaat untuk membantah keputusan pilihan raya kampus di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Alam Bina.

Memandangkan perhimpunan yang dianjurkan mereka di perkarangan Masjid UKM tersebut dilakukan secara aman, pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan terhadap mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut. Justeru, PKPIM berpandangan tindakan polis yang telah mencetuskan provokasi untuk menghentikan perhimpunan berkenaan adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

Dalam pada itu, PKPIM juga berpandangan bahawa perhimpunan yang dilakukan tersebut tidak memerlukan penglibatan pihak polis disebabkan ianya dianjurkan dalam kawasan universiti. Maka, seharusnya demonstrasi tersebut diselesaikan oleh pihak dalaman universiti sendiri.

Justeru itu, bagi PKPIM insiden yang berlaku ini secara tidak langsung telah menjatuhkan maruah, martabat dan kredibiliti Universiti yang dahulunya gah dengan pemilikan kuasa autonomi. Lantaran itu, situasi semasa ini menuntut supaya pihak bertanggungjawab mengembalikan kedudukan Universiti sebagai institusi yang bebas dan berautonomi agar martabat universiti sentiasa disanjung dan dihormati oleh semua pihak.

Sementara itu, PKPIM turut melahirkan kekecewaan terhadap penangkapan yang dilakukan terhadap dua aktivis mahasiswa Muhammad Huzaifah Jusof Khadidi dan Muhd Zarimi Mohamad @ Abdullah yang didakwa terlibat dalam perhimpunan berkenaan. Penahanan yang dilakukan ini jelas bertentangan dengan prinsip, amalan dan hak demokrasi yang didokong oleh semua pihak selama ini untuk menyuarakan pandangan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menggesa semua pihak khususnya pihak keselamatan untuk memberi jaminan agar insiden yang sama tidak berulang demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia di kampus.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
013-5303221

Tiada ulasan: