Oleh Gerald Chung
KUCHING: Sepasang warga emas kerugian hampir RM1 juta selepas diperdaya seorang bomoh yang mengaku mampu menyembuhkan penyakit misteri dihadapi pasangan itu melalui rawatan ‘keranda ajaib’.
Yakin dengan kemampuan bomoh itu, pasangan warga emas berusia sekitar 60-an berkenaan bertindak mengeluarkan wang simpanan yang dikumpul sejak 20 tahun lalu bagi digunakan dalam rawatan yang memerlukan semua wang dimasukkan ke dalam keranda.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mohd Firdaus Abdullah, berkata mangsa kemudian ragu-ragu kerana penyakitnya tidak sembuh selepas enam bulan menyerahkan wang berkenaan bertindak membuat laporan polis pada Khamis lalu.
“Berdasarkan maklumat, suspek meminta mangsa yang menghidapi penyakit misteri menyerahkan wang berjumlah RM750,000 bagi disimpan di dalam keranda selama enam bulan sebagai sebahagian kaedah rawatan.
“Keranda berisi wang itu kemudian ditempatkan di sebuah tokong di Batu 12, Jalan Kuching Serian, namun mangsa yang tidak sembuh daripada penyakitnya bertindak membuat laporan polis minggu lalu,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Sungai Maong di sini, semalam.
Difahamkan, tujuan keranda berkenaan disimpan di tokong adalah bagi membolehkan upacara penyembahan dilakukan dengan bomoh menetapkan tempoh tiga tahun bagi menyempurnakan rawatan berkenaan.
Pasangan warga emas berasal dari Kuching itu mula mengesyaki ditipu pada penghujung tahun lalu kerana penyakit misteri yang dihadapi tidak menunjukkan tanda akan sembuh.
Firdaus berkata, pemeriksaan polis selepas menerima laporan mendapati semua wang yang dimasukkan ke dalam keranda hilang dengan bomoh berkenaan tidak berada di tokong berkenaan.
“Berikutan itu, polis bertindak menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai bomoh berkenaan bersama seorang rakannya yang berusia 47 tahun, malam Jumaat lalu dan direman selama sembilan hari bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, semua wang yang disimpan di dalam keranda gagal ditemui dengan kita terpaksa merampas keranda berkenaan bagi dijadikan bukti ketika proses pendakwaan,” katanya.
Kes ini disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan suspek berhadapan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih 10 tahun dengan sebatan atau denda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan