Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini terus mempertahankan sokongannya terhadap penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.
Pendirian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ditulisnya sendiri dalam ruangan pendapat di The Wall Street Journal bertajuk “Orang Islam Tiada Monopoli dalam Penggunaan Kalimah Allah.”
Anwar berkata, hanya segelintir umat Islam di seluruh dunia menyokong dakwaan bahawa mereka berhak memonopoli penggunaan kalimah Allah.
Katanya, ini kerana kalimah berkenaan telah diperakui wujud dalam kamus bahasa Arab kuno sebelum ketibaan Islam lagi.
Sebelum ini, Anwar juga pernah dikecam apabila menuduh Islam menindas kaum minoriti penganut agama Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi ketika menghadiri satu persidangan di Australia, Disember lalu.
Dalam artikel yang disiarkan hari ini, beliau berkata, beberapa bahasa semantik yang mempunyai pertalian dengan bahasa Arab turut menggunakan kalimah Allah ketika merujuk kepada tuhan seperti Elaha dalam bahasa Aramaic dan Elohim dalam bahasa Ibrani.
“Manuskrip sejarah membuktikan bahawa orang Islam, Kristian dan Yahudi yang menggunakan bahasa Arab secara kolektif telah menyembah tuhan pencipta serta pentadbir alam semesta yang dipanggil Allah lebih 1,400 tahun lalu.
“Sejarah Islam di Asia Tenggara pula telah dikenali dengan tradisi kemajmukan yang merangkumi semua, manakala hubungan persahabatan antara orang Islam dan bukan Islam telah menjadi satu norma sejak beberapa generasi.
“Sehubungan itu cendekiawan Islam di luar negara melihat isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia sebagai tidak masuk akal dan tidak dapat menduga ia mencetuskan bantahan dan kemarahan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar membuat dakwaan bahawa kelemahan Malaysia dalam menangani isu membabitkan agama dan perbezaan kaum bukannya sesuatu yang luar biasa.
Katanya, layanan buruk kepada kumpulan minoriti di negara Islam selalunya lebih teruk daripada perbuatan serupa yang dikecam umat Islam di negara Barat.
“Kita telah melihat bagaimana orang Islam di seluruh dunia membantah undang-undang mendiskriminasi mereka yang diluluskan di negara Barat yang sepatutnya lebih liberal dan progresif.
“Sebagaimana Perancis serta Jerman dalam isu pemakaian burqa dan Switzerland dengan isu menara masjid, begitulah juga Malaysia yang seringkali gagal menyediakan suasana selamat dan terjamin terhadap masyarakat minoriti,” katanya.
Sementara itu, Anwar mendakwa ketegangan dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dicetuskan oleh beberapa pemimpin politik yang semberono, media arus perdana dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kaitan dengan ahli dan pemimpin UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan