HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Ogos 2010

Mahakamah Persekutuan arah Felda bayar RM11 juta kepada peneroka

Harakahdaily

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan mahkamah sebelum ini yang mengarahkan Felda membayar pampasan lebih RM11 juta kepada 354 peneroka sebuah rancangan Felda di Kelantan.

Keputusan ini dipercayai akan membuka ruang kepada lebih tindakan saman terhadap Felda dalam isu manipulasi pengredan kelapa sawit oleh Felda terhadap penerokanya.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan Felda membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka-peneroka itu.

Panel hakim selain Alauddin adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka-peneroka itu setelah peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar.

Selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka, mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka.

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul. Setiap peneroka dianggarkan akan menerima RM30,000 sebagai ganti rugi.

Mereka menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.

Mereka menamakan Felda, pengurus Felda Kemahang 3 Ibrahim Ismail (yang telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan. Seramai 100 peneroka hadir di mahkamah hari ini.

Mereka diwakili sepasukan peguam diketuai Wan Rohimi Wan Daud manakala Felda diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Tiada ulasan: